SETITIK DARAH, SEJUTA HARAPAN : MAHASISWA UPSI BERSATU HATI PENUHI TABUNG DARAH NEGARA


Oleh : Nur Wahyuni Binti Sapae & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan



TANJONG MALIM - Warga “Universiti Ibu Kandung Suluh Budiman” atau UPSI membuktikan bahawa peranan mereka tidak hanya terhad di dalam bilik kuliah atau di atas pentas praktikum semata-mata. Melalui kempen derma darah yang sering diadakan di UPSI, hal ini menunjukkan bahawa jiwa kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan pelajar apabila mereka tampil beramai-ramai bagi membantu untuk memenuhi tabung darah negara yang sering berada pada tahap kritikal.


Pada 20 Mei 2026, Fakulti Sains Kemanusiaan dengan kolaborasi bersama Hospital Slim River dan beberapa pihak lain telah mengadakan kempen derma darah yang bertempat di Bitarasiswa (Student Lounge), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Seawal jam 8.00 pagi, ruang legar kompleks pelajar sudah mula dipenuhi dengan kelibat mahasiswa yang setia beratur. Ada yang datang sudah beberapa kali menderma darah, dan tidak kurang juga yang hadir bagi pertama kalinya.


Siti Nurhana Adilah, 21, pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi mengatakan bahawa dia hampir saja membatalkan niatnya untuk menderma pada saat-saat akhir.


“Sejujurnya, saya baru pertama kali nak derma darah. Agak takut dan gemetar sebenarnya. Namun, atas dorongan dan semangat yang diberikan rakan-rakan, saya akhirnya cuba untuk beranikan diri. Bila difikirkan balik, ketakutan saya yang hanya sekejap ni mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang diluar sana. Lagipun bila dah derma, saya dapat hadiah!” selorohnya sambil menunjukkan beg plastik yang berisi makanan yang diberikan oleh pihak hospital.


Dalam kehidupan universiti, tidak dinafikan setiap program yang dihadiri oleh pelajar sudah pasti dijanjikan mata merit atau sijil penyertaan. Walau bagaimanapun, majoriti pelajar yang ditemui rata-ratanya meletakkan niat beramal sebagai keutamaan. Kempen sebegini rupa memecahkan pelbagai mitos lapuk yang beredar di kalangan orang ramai seperti tanggapan bahawa menderma darah boleh menggemukkan badan atau menyebabkan badan menjadi lemah yang berpanjangan. Sebaliknya, petugas kesihatan yang bertugas sentiasa memastikan setiap penderma melepasi saringan kesihatan yang ketat, termasuk semakan tahap hemoglobin dan tekanan darah sebelum mereka dibenarkan menderma.


Kempen yang dijalankan selama sehari ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 80 beg yang terdiri daripada pelbagai jenis golongan darah seperti A, B, O dan AB. Menderma darah bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang atau sekadar untuk mengikuti ‘trend’ semasa. Bagi mahasiswa UPSI sendiri, ini adalah satu refleksi kepada falsafah “Suluh Budiman” itu sendiri yang membawa maksud menjadi cahaya yang menerangi dan memberi manfaat kepada masyarakat luar.


Diharapkan kempen sebegini rupa kekal terus dijalankan di masa akan datang bukan sahaja untuk derma darah semata-mata, tetapi juga membawa mesej yang sangat jelas seperti anak muda pada zaman ini tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa bersedia untuk menyumbang kepada negara apabila diperlukan.