Sarong di Gelanggang, Semangat di Dada: Volley Fusion Sarong Edition Curi Hati Penonton UPSI

 



Oleh: NORHAFIQ AIMAN BIN NORHASHAD


TANJONG MALIM — Court KZ, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak seperti biasa. Dari jauh sudah kedengaran sorak-sorai dan tepukan tangan. Bukan kerana pertandingan bola sepak atau balapan. Tetapi kerana sesuatu yang lebih luar biasa pemain bola tampar yang berlawan sambil mengenakan kain sarong dengan semangat yang tidak kurang hebatnya daripada atlet profesional.

Itulah suasana yang menyambut para penonton di Volley Fusion Sarong Edition, sebuah kejohanan bola jaring bertema unik yang dianjurkan oleh Persatuan Komunikasi (PERKOM) UPSI, dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Kejohanan yang bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 5 petang itu berjaya menjadi salah satu acara sukan kampus paling meriah dan paling diperkatakan dalam tahun ini.

Konsep Segar yang Terus Memikat dari Jauh

Bagi Muhamad Alif Haikal Bin Hisham, 22 tahun, pelajar Tahun Dua Fakulti Bahasa dan Komunikasi, kejohanan ini sudah mencuri perhatiannya jauh sebelum hari pertandingan tiba. "Masa tengok poster tu, saya terus gelak tapi terus excited. Bola tampar pakai kain sarong? Memang unik. Saya terus ajak kawan-kawan datang," katanya sambil ketawa kecil mengenang semula reaksi pertamanya.

Tema kain sarong yang diangkat dalam kejohanan ini bukan sekadar gimmick. Ia adalah satu usaha yang bijak untuk memadukan elemen warisan budaya Melayu dengan aktiviti sukan moden di kampus sesuatu yang jarang dilakukan tetapi ternyata berjaya menarik minat lebih ramai pelajar untuk hadir dan turut serta. Yuran pendaftaran yang berpatutan iaitu hanya RM20 setiap pasukan turut membantu menarik penyertaan.

Enam Pasukan, Satu Gelanggang, Semua Berani

Seramai enam pasukan telah mendaftar untuk kejohanan ini, dengan setiap pasukan dianggotai 10 orang pemain. Jumlah keseluruhan peserta seramai 60 orang itu mengisi gelanggang dengan penuh semangat, masing-masing mengenakan kain sarong yang diikat pelbagai gaya  ada yang kemas, ada yang longgar dan ada yang hampir terlerai ketika pemain melompat untuk menampar bola tersebut. Itulah antara detik-detik yang paling mengundang gelak tawa sekaligus tepukan daripada penonton.

"Tengok pemain lompat tinggi sambil memakai kain sarong supaya tak jatuh, tu yang paling lawak. Tapi dalam masa yang sama, kita boleh nampak betapa seronoknya mereka. Semua orang dalam mood yang baik," ujar Alif yang turut merakam beberapa video sepanjang kejohanan berlangsung.

Final yang Mendebarkan: AWAS SAYANG Tewaskan LAKSAMANA

Kemuncak kejohanan tiba apabila perlawanan final mempertemukan pasukan AWAS SAYANG menentang pasukan LAKSAMANA. Kedua-dua pasukan memasuki gelanggang dengan sokongan penyokong masing-masing yang bersorak kuat, menjadikan suasana di Court KZ semakin panas walaupun hari telah melangkah petang.

Bagi Muhammad Ammar Haziq Bin Mohamed Elias Zulkifli, 22 tahun, pelajar Tahun Dua yang merupakan penyokong tegar pasukan AWAS SAYANG, perlawanan final itu adalah detik yang paling ditunggu-tunggu sepanjang hari. "Dari pagi lagi saya dah pantau perlawanan diorang. AWAS SAYANG main secara serius, ada strategi. Saya dah agak diorang boleh pergi jauh," katanya penuh yakin.

Keyakinan Amir terbukti tepat. Pasukan AWAS SAYANG menguasai final dari awal hingga akhir, menewaskan LAKSAMANA dengan skor telak 2-0 tanpa memberi peluang kepada pihak lawan untuk bangkit. Setiap mata yang diraih disambut dengan sorak riuh penonton yang memenuhi tepi gelanggang, menjadikan momen kemenangan itu terasa seperti sambutan di stadium profesional.

Hamper dan Medal: Ganjaran yang Dirai Bersama

Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung petang itu menyaksikan pasukan AWAS SAYANG menerima hamper dan medal sebagai pengiktirafan atas kejuaraan mereka. Bagi penonton yang menyaksikan sendiri perjalanan pasukan tersebut sepanjang hari, hadiah itu terasa seperti ganjaran yang amat layak diterima.

"Seronok tengok muka diorang masa terima pingat. Bukan sebab hadiah semata-mata tapi sebab kerja keras seharian tu akhirnya diraikan. Itulah yang paling bermakna," kata Ammar yang turut hadir hingga ke majlis penutup.

Apabila Court KZ mula kosong menjelang senja, yang tinggal hanyalah kenangan manis  gelak tawa pemain yang berlari sambil memegang kain sarong, sorakan penonton yang tidak henti-henti dan semangat kemasyarakatan yang lahir daripada sebuah idea yang sederhana tetapi penuh kreativiti. Volley Fusion Sarong Edition bukan sekadar pertandingan bola tampar. Ia adalah bukti bahawa sukan kampus apabila dianjurkan dengan penuh inovasi dan jiwa, mampu menyatukan pelajar dari pelbagai latar belakang dalam satu gelak tawa dan satu semangat yang sama.