Oleh: Muhamad Alif Haikal
TANJUNG MALIM – Kedudukan geografinya yang sangat strategik terletak tepat di sempadan antara negeri Perak dan Selangor sepatutnya meletakkan Tanjung Malim sebagai sebuah hub pertumbuhan ekonomi dan pelancongan yang amat pesat. Walau bagaimanapun, realiti sedia ada menunjukkan bahawa bandar ini lebih kerap dilabel dan berfungsi sebagai 'pekan persinggahan' sahaja. Majoriti pengunjung luar hanya memilih untuk singgah seketika bagi menikmati juadah popular seperti pau Tanjung Malim atau mengisi minyak kenderaan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi utama mereka. Mengapakah situasi ini terus berlaku?
Faktor utama yang menjadi asas kepada isu ini ialah kurangnya kepelbagaian produk pelancongan komersial yang berskala besar. Walaupun daerah Muallim kaya dengan khazanah alam semula jadi seperti sungai dan trek pendakian, tarikan tersebut bersifat rekreasi asas dan tidak mempunyai 'magnet' komersial bertaraf antarabangsa atau taman tema moden yang hanya mampu mendesak pelancong luar untuk bermalam lebih daripada satu hari. Kebanyakan pelancong memilih untuk melakukan aktiviti day-trip sahaja.
Faktor kedua ialah pembangunan sektor komersial dan aktiviti gaya hidup moden yang terhad. Pasaran perniagaan di pekan ini didapati mengecil dan mula perlahan seawal jam 10 malam. Ketiadaan pusat beli-belah berskala mega atau pusat hiburan keluarga bersepadu menyebabkan golongan muda, terutamanya mahasiswa, lebih gemar bergerak ke Lembah Klang pada hujung minggu bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden mereka.
Deretan kedai warisan di pekan lama Tanjung Malim yang menggambarkan struktur ekonomi domestik dan aktiviti komersial setempat.
Seorang rakan mahasiswa UPSI, Saudara Norazlan Hamzah, 22, memberikan pandangan beliau mengenai struktur ekonomi pekan transit ini.
"Tanjung Malim menghadapi cabaran economic leakage ke arah Lembah Klang kerana jaraknya yang terlalu dekat. Berdasarkan apa yang kami bincangkan dalam kuliah, untuk menukarkan status pekan transit kepada pekan destinasi, struktur pembangunan komersial perlu diubah. Pihak berkuasa dan pelabur memerlukan pelaburan swasta untuk mewujudkan hub perniagaan bersepadu yang beroperasi melampaui waktu pejabat," jelas Norazlan.
Faktor ketiga yang berkait rapat dengan ekosistem ekonomi domestik yang terlalu tertumpu kepada dua sektor utama, iaitu sektor pendidikan (UPSI) dan automotif (Proton). Impak daripada kebergantungan ini amat ketara apabila tibanya musim cuti semester universiti. Pekan Tanjung Malim akan bertukar menjadi lengang, sekali gus membuktikan bahawa kitaran ekonomi tempatan belum cukup mandiri untuk menarik aliran tunai luar tanpa kehadiran warga kampus.
Faktor keempat dan terakhir yang ironinya menjadi kelemahan ialah kecekapan jaringan pengangkutan sedia ada. Kewujudan Lebuhraya PLUS serta perkhidmatan tren harian seperti KTM Komuter dan ETS memudahkan orang ramai untuk bergerak pantas melintasi pekan ini tanpa keperluan mendesak untuk berhenti rehat dalam tempoh yang lama.
Seorang mahasiswi UPSI yang keluarganya mengusahakan inap desa, Saudari Hajar, 21, turut berkongsi maklum balas mengenai trend tempahan premis keluarganya yang tidak menentu.
"Kadar tempahan homestay di sini selalunya akan penuh melonjak kalau ada Majlis Konvokesyen UPSI atau apabila ada acara sukan besar di Proton City. Hari-hari biasa memang agak sunyi kerana pelawat luar lebih suka memilih penginapan di Kuala Lumpur atau Ipoh yang menawarkan lebih banyak pilihan tarikan pada waktu malam," kata Hajar.
Papan tanda susur keluar Tanjung Malim di Lebuhraya PLUS yang menjadi nadi perhubungan utama sekaligus membentuk statusnya sebagai pekan transit.
Kesimpulannya, transformasi Tanjung Malim daripada sebuah pekan persinggahan kepada sebuah destinasi ekonomi yang dinamik memerlukan pelan struktur yang komprehensif dan agresif. Sinergi antara pihak berkuasa tempatan, pihak universiti, dan pelabur industri amat diperlukan bagi merancakkan lagi kepelbagaian aktiviti komersial demi masa depan daerah Muallim.