Oleh : Nur Wahyuni Binti Sapae & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
KUALA LUMPUR, 25 Mei - Fasa peralihan daripada dunia akademik ke alam pekerjaan menuntut lebih besar daripada sekadar memperoleh kecemerlangan dengan skrol ijazah. Menyedari hakikat bahawa pasaran fleksibel hari ini memerlukan figura yang mempunyai daya tahan yang tinggi. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menganjurkan Program AKPK GROW CLUB 2.0 Leadership Camp. program intensif ini direka khusus untuk melahirkan barisan pelapis pemimpin muda yang bukan sahaja bijak dalam mengurus strategi, tetapi juga matang dalam mengemudi navigasi kehidupan dan kewangan.
Program yang dijalankan selama 3 hari bermula 22 Mei sehingga 24 Mei, bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) telah dihadiri oleh mahasiswa daripada pelbagai universiti di seluruh Malaysia. Kem ini mengumpulkan ahli-ahli kelab daripada setiap universiti dengan bertujuan untuk menggilap potensi kepimpinan makro melalui modul-modul interaktif, menghadapi simulasi dunia sebenar serta penerapan nilai pengurusan diri yang lebih holistik.
Sepanjang program ini berlangsung, peserta tidak sahaja diberikan syarahan teori yang kaku. Sebaliknya, mereka didedahkan dengan pengisian berbentuk experiential learning (pembelajaran melalui pengalaman) yang bertujuan untuk mencabar keupayaan mereka untuk berfikir di luar kotak, mengasah komunikasi yang strategik dalam kalangan peserta dan dapat menyelesaikan masalah secara kolektif.
“Kem ini benar-benar membawa saya keluar daripada comfort zone saya. Di sini, saya belajar bahawa kepimpinan bukan sahaja tentang memegang jawatan atau mempunyai pengaruh kuasa yang tinggi, tetapi juga tentang bagaimana kita mampu untuk mengurus emosi diri sendiri, mendengar suara ahli pasukan dan membentuk sikap berani untuk mengambil risiko,” ucap salah seorang peserta program daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Seorang pemimpin bagi sesebuah organisasi mestilah seseorang yang cekap. Melalui slot khusus di dalam program ini, para peserta diajar bagaimana cara untuk menguruskan sumber yang terhad, merancang bajet organisasi dengan lebih efisien dan berintegriti, serta mengelakkan perangkap hutang di usia muda. Formula ini penting bagi memastikan mereka mampu untuk memimpin diri sendiri sebelum memimpin orang lain dalam skala yang lebih besar.
Penutupan kem ini menyaksikan wajah-wajah yang lebih berkeyakinan dan bersemangat. Pihak pengurusan AKPK berharap agar momentum yang dibina sepanjang program ini tidak terhenti disini saja. Sebaliknya, ia boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata apabila para peserta telah kembali ke kampus dan komuniti masing-masing. Melalui program ini juga, diharapkan pemimpin yang tangkas berfikir, bijak mengurus risiko dan mempunyai empati yang tinggi terhadap masyarakat dapat dilahirkan pada masa akan datang agar dapat menjadi pemangkin negara yang holistik.