SULUH BUDIMAN DI KALUMPANG: MAHASISWA UPSI BAWA KELAINAN MELALUI PDP MORAL INTERAKTIF BERSAMA MySKILLS FOUNDATION
Oleh : Nur Wahyuni Binti Sapae & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
KALUMPANG - Pendidikan moral di sekolah sering disalah erti sebagai subjek yang sarat dengan teori, hafalan nilai dan struktur kelas yang pasif. Namun begitu, persepsi klasik itu berjaya diubah apabila sekumpulan mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah turun padang bagi menjayakan Program Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Moral Interaktif bersama para pelajar daripada MySkills Foundation di kampus latihan mereka yang terletak di Kalumpang, Kerling, Selangor pada 20 Mei 2026.
Seramai 83 orang pelajar dan seorang pensyarah daripada Fakulti Sains Kemanusiaan telah berjaya membawa impak yang sangat besar dalam aspek pembentukan sahsiah atau character building dalam kalangan belia di MySkills Foundation. Ia merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang komited memberikan latihan kemahiran hidup dan peluang kedua buat remaja yang berisiko serta tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memperkukuh pengetahuan tentang tingkah laku sosial pelajar serta mengembangkan kemahiran komunikasi dan profesionalisme sebagai seorang pendidik di masa akan datang. Untuk program ini, mahasiswa UPSI telah merangka modul khas berasaskan konsep Game-Based Learning (Pembelajaran Berasaskan Permainan) dan aktiviti simulasi dinamik. Tiada buku teks tebal dan syarahan satu hala. Sebaliknya, ruang dewan gamat dengan aktiviti interaktif yang menguji pemikiran kritis, kerja berpasukan dan empati.
“Mula-mula mereka agak pemalu dan berat mulut untuk menjawab soalan semasa sesi Ice Breaking. Namun, apabila kita mula menggunakan pendekatan didik hibur yang tidak menghukum, mereka mula terbuka dengan kami. Idea-idea untuk menyelesaikan masalah yang mereka lontarkan juga sangat luar biasa dan matang,” ujar timbalan pengarah program, Tan ZiYu.
Melalui program selama satu hari ini, ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pelatih MySkills dalam mendidik belia di sana tetapi juga menjadi medan refleksi yang mendalam buat mahasiswa UPSI sendiri. Sebagai bakal pendidik, pengalaman menyantuni belia berisiko ini membuka mata mereka tentang realiti sebenar kepelbagaian latar belakang anak bangsa.
Bagi pihak MySkills Foundation, melalui modul interaktif ini, nilai-nilai seperti hormat-menghormati, rasional dan kepercayaan kepada Tuhan diterjemahkan dalam bentuk aktiviti fizikal dan refleksi berkumpulan. Walaupun pelatih di sini mahir dalam bidang vokasional seperti pendawaian elektrik, kimpalan dan pertanian corporate, pembentukan nilai murni adalah ‘enjin’ utama yang akan menentukan kejayaan mereka dalam dunia industri kelak.
“Di universiti, mereka diajar teori psikologi remaja dan pengurusan bilik darjah. Namun, di MySkills Kalumpang ini, mereka akan belajar seni yang sebenar, iaitu seni mendengar dengan hati. Mereka di sini bukanlah seorang pelajar yang gagal, mereka cuma memerlukan medium pembelajaran yang berbeza dan sistem sokongan yang percaya kepada potensi mereka,” ucap pensyarah yang turut serta dalam program ini.
Program ini diakhiri dengan sesi refleksi penuh emosi dan penyerahan cenderahati. Air muka yang awalnya kelihatan dingin, bertukar menjadi senyuman lebar dan salam perpisahan yang erat antara mahasiswa UPSI dan belia MySkills. Diharapkan program sebegini rupa akan dijalankan lagi di masa akan datang bukan sekadar untuk mengajar, tetapi juga untuk menyalakan kembali harapan dan nilai murni dalam diri generasi muda yang bakal memimpin hari esok.
Sumber : Fakulti Sains Kemanusiaan