TULANG BELAKANG KAMPUNG: USAHA TANPA LELAH KETUA KAMPUNG DALAM MEMBANTU PENDUDUK YANG KESUSAHAN





Oleh : Nur Wahyuni Binti Sapae & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan


KAMPUNG MENDERANG, 7 Mei - Dalam suasana kehidupan kampung yang serba sederhana, peranan ketua kampung bukan sekadar sebagai pemimpin pentadbiran, tetapi juga sebagai pelindung dan penggerak kebajikan masyarakat setempat. Usaha gigih Encik Mohd Suhaili Bin Abu Kasim sebagai seorang ketua kampung yang telah menjadi inspirasi apabila beliau tidak pernah jemu membantu penduduk yang berdepan dengan pelbagai kesulitan hidup, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, warga emas dan ibu tunggal.


Sejak dilantik untuk memegang jawatan tersebut sejak 2020 lalu, beliau aktif turun padang untuk mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi oleh penduduk. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah mengumpul sumbangan daripada pihak luar, melakukan kerjasama dengan pihak bukan kerajaan (NGO), serta baru baru ini beliau telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelajar daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam membantu mempromosikan produk kecil dan sederhana (IKS) di kampung itu.


“Saya pernah berkunjung ke rumah salah seorang penduduk untuk tengok menu makan tengah hari mereka pada hari itu. Saya terkejut, apabila saya nampak ubi kayu rebus sahaja di atas meja makan. Jadi, saya rasa sedih melihat masih ada orang yang makan ubi rebus sebagai lauk tengah hari,” kata beliau semasa ditemu bual.


Tidak hanya itu, ketua kampung ini juga memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat. Beliau sering mengadakan program kebajikan dan juga aktiviti komuniti bagi mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung. Dalam situasi kecemasan seperti banjir atau kebakaran, beliau menjadi antara individu terawal yang tampil untuk menghulurkan bantuan dan menyelaras usaha bagi menyelamatkan serta memberikan penempatan sementara bagi mangsa terlibat.


Baru-baru ini, beliau telah menjalankan kerjasama dengan pelajar daripada ISM Komunikasi (Komunikasi Sosial), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam membantu penduduk kampung untuk mempromosikan produk mereka. “Saya berharap agar kerjasama yang dijalankan ini dapat membantu penduduk kampung yang berpotensi untuk menjana pendapatan mereka sendiri.” katanya lagi.


Usaha berterusan yang ditunjukkan oleh Encik Suhaili sebagai ketua kampung jelas membuktikan bahawa kepimpinan yang prihatin mampu membawa perubahan positif dalam sesebuah komuniti. Dengan semangat kerja keras dan keprihatinan yang tinggi, beliau bukan sahaja membantu meringankan beban penduduk, malah menjadi contoh teladan kepada generasi muda tentang erti sebenar kepimpinan dan pengorbanan.