Oleh Fitra Aqilah Suhaimi
Semenyih, 7 Mei 2026 – Hubungan persahabatan dan kerjasama antarabangsa terus diperkukuh apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama delegasi Young Scientist Uzbekistan menganjurkan Program Uzbek Young Scientist Culture Day yang berlangsung meriah di Elda Farm House, Jalan Bangi Semenyih, baru-baru ini.
Program yang menghimpunkan wakil akademik, komuniti, industri dan delegasi antarabangsa itu menjadi platform penting dalam memperkenalkan keunikan budaya Malaysia dan Uzbekistan menerusi pertukaran tradisi, makanan serta persembahan kebudayaan. Inisiatif ini secara tidak langsung memperlihatkan komitmen UPSI dalam memperluaskan jaringan global serta memperkukuh hubungan diplomatik pendidikan antara kedua-dua negara.
Acara dimulakan dengan sesi sarapan pagi dan demonstrasi masakan tradisional yang mendapat perhatian para tetamu. Delegasi Uzbekistan memperkenalkan hidangan ikonik negara mereka iaitu plov dan shashlik, yang dimasak secara langsung oleh peserta Young Scientist Uzbekistan. Aroma dan keunikan sajian tersebut berjaya menarik perhatian para pengunjung yang ingin mengenali budaya masyarakat Uzbekistan dengan lebih dekat.
Dalam masa yang sama, pihak Malaysia turut berkongsi pelbagai juadah tradisional tempatan sebagai simbol hospitaliti dan kepelbagaian budaya negara. Pertukaran hidangan ini bukan sekadar pengalaman gastronomi, malah menjadi medium komunikasi budaya yang menyatukan masyarakat dari latar belakang berbeza.
Budaya Jadi Jambatan Persahabatan
Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa kenamaan termasuk Duta Uzbekistan, YBhg. Dato’ Naib Canselor UPSI, Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) UPSI, Ketua Program Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli serta wakil industri dan komuniti setempat.
Perasmian rasmi oleh Duta Uzbekistan menjadi simbolik penting kepada hubungan erat yang sedang dibina antara institusi pendidikan Malaysia dan Uzbekistan. Melalui program seperti ini, kedua-dua pihak bukan sahaja bertukar ilmu dan pengalaman, tetapi turut membina persefahaman budaya yang mampu membuka lebih banyak peluang kerjasama akademik dan penyelidikan pada masa akan datang.
Persembahan kebudayaan Malaysia–Uzbekistan yang berlangsung sewaktu jamuan makan tengah hari turut mencuri perhatian para tetamu. Gabungan elemen tradisional kedua-dua negara menyerlahkan keindahan kepelbagaian budaya serta membuktikan bahawa seni dan budaya mampu menjadi bahasa universal yang menyatukan masyarakat dunia. Menurut Dilfudza, salah seorang delegasi Uzbekistan, pertemuan ini merupakan memori terunggulnya kerana dapat mempelajari budaya baru sambil memperkenal budaya mereka ke tanah air kita.
Selain pertukaran budaya, program ini turut memberi ruang kepada sesi jaringan industri dan komuniti yang melibatkan pelbagai pemegang taruh tempatan serta rakan strategik Malaysia–Uzbekistan. Sesi santai tersebut membuka peluang kepada perbincangan berkaitan pendidikan, inovasi, pembangunan komuniti dan potensi kerjasama antarabangsa pada masa hadapan.
Penganjuran Uzbek Young Scientist Culture Day jelas membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar proses pembelajaran di dalam bilik kuliah, tetapi juga medium membina hubungan antarabangsa yang lebih erat dan harmoni. Melalui interaksi budaya, makanan dan komunikasi antara masyarakat, UPSI sekali lagi memperlihatkan peranannya sebagai institusi yang aktif memperkukuh hubungan global dan diplomasi pendidikan serantau.
Program ini diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pertukaran budaya dan akademik antara Malaysia dan Uzbekistan, sekali gus memperluaskan lagi jaringan persahabatan antara kedua-dua negara.