Bayangkan sebuah video di media sosial yang mendakwa dia isteri seorang pemimpin dunia sebenarnya seorang "penyamar". Tajuknya sensasi, wajah perakamnya penuh emosi, dan video itu pantas dikongsi.
Inilah wajah berita palsu era video pendek. Menurut analisis NewsGuard yang dipetik dalam satu kajian baharu, kira-kira satu daripada lima video TikTok berkemungkinan mengandungi maklumat salah.
Untuk melawan arus ini, empat penyelidik dari University of Auckland, New Zealand dan University of Technology Sydney, Australia membangunkan TrueLens, sistem kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan video berita palsu. Kajian mereka dibentangkan di ACM Web Conference 2026 di Dubai pada April lalu.
Berita palsu dalam bentuk teks dan gambar sudah lama menjadi masalah. Namun video membawa cabaran lebih besar kerana gabungan visual, bunyi dan emosi mampu meyakinkan penonton serta mempercepat penularan.
Menurut pengkaji, kebanyakan sistem pengesan sedia ada mempunyai dua kelemahan. Pertama, sistem hanya meneliti video itu sendiri tanpa membandingkannya dengan video lain. Kedua, maklumat daripada teks, gambar dan audio dicampur sekali gus, sehingga isyarat yang lemah boleh menenggelamkan petunjuk yang kuat.
TrueLens meniru cara penyemak fakta manusia bekerja, iaitu dengan mengumpul bukti pada dua peringkat dan TrueLens mencapai ketepatan sehingga 98.83% dalam ujian.
Peringkat pertama ialah bukti luaran. Sistem ini mencari dalam "bank memori" video lama dan memilih dua yang paling serupa: satu video sahih dan satu video palsu. Model AI turut meringkaskan tema serta jalan cerita setiap video supaya perbandingan lebih tepat. Menariknya, sistem ini menentukan sendiri sama ada teks, visual atau audio yang paling berguna bagi setiap video.
Peringkat kedua ialah bukti dalaman. Teks, visual dan audio dinilai secara berasingan, dan setiap satu memberi "pendapat" berserta tahap keyakinannya. Pendapat ini kemudian digabungkan. Jika berlaku percanggahan, sistem lebih mempercayai sumber yang paling yakin.
Satu lagi kelebihan TrueLens ialah ia kurang "terlalu yakin" apabila tersilap. Ini penting kerana pengkaji melihat sistem ini sebagai panduan untuk penyemak fakta manusia, bukan pengganti mereka. Kod sistem ini juga dikongsi secara terbuka di GitHub untuk kegunaan penyelidik lain.
Pada masa depan, pengkaji mahu sistem ini mampu menjelaskan keputusannya dalam bahasa yang mudah difahami.
Namun perlu diingat, TrueLens diuji menggunakan set data dari China dan platform global. Keberkesanannya terhadap kandungan berbahasa Melayu belum dikaji.
Sehingga teknologi seperti ini sampai ke telefon kita, senjata terbaik masih sama: berhenti sejenak sebelum menekan butang kongsi.
Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan adalah penyelidik dalam ilmu Perangsaraf Media dan Informasi dan pernah menjadi Felo Penyelidik Operasi Psikologi dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (UiTM).
