Pagi ini, berapa banyak berita yang anda "baca" dalam bentuk video? Mungkin sambil menunggu kopi siap, anda sudah menonton tiga klip berita di TikTok, satu video pendek di Instagram dan satu lagi yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
Tanpa sedar, kita sedang hidup dalam era Revolusi Berita 3.0.
Istilah ini selari dengan dapatan kajian terbaharu tiga penyelidik dari Lomonosov Moscow State University, iaitu Karine Chobanyan, Liudmila Kruglova dan Kristina Zuykina, dalam jurnal Changing Societies & Personalities (2026). Mereka meneliti 13 laporan Digital News Report terbitan Reuters Institute (2012–2024) dan 117 penerbitan akademik untuk menjejak perjalanan video berita dalam talian.
Hasilnya, evolusi video berita dibahagikan kepada tiga peringkat utama.
Berita 1.0 (2013–2015): Video pendek mula popular, tetapi laman web media masih pentas utama.
Berita 2.0 (2016–2020): Penonton berpindah ke media sosial dan YouTube.
Berita 3.0 (2021–kini): Berita beralih ke aplikasi pesanan dan platform video pendek seperti TikTok.
Asasnya sudah disediakan sebelum 2013. YouTube dilancarkan pada 2005, telefon pintar mula meluas pada 2007 dan media sosial semakin digemari.
Pada peringkat pertama, video berita kurang lima minit mula diminati, terutama yang memberi "nilai tambah" seperti analisis, latar belakang atau detik dramatik. Namun syarikat media masih berhati-hati dan menggunakan YouTube sekadar untuk menarik orang ke laman web sendiri.
Peringkat kedua menyaksikan perpindahan besar. Hampir separuh video berita ditonton di media sosial atau YouTube, terutamanya oleh golongan bawah 35 tahun. TikTok mula muncul, dan The Washington Post antara media terawal menyertainya pada 2019.
Era 3.0: pendek, vertikal, peribadi
Kini kita berada dalam peringkat ketiga. Berita semakin banyak diakses melalui aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram, serta platform video pendek yang meledak semasa pandemik COVID-19. TikTok menjadi penentu trend sehingga melahirkan format serupa seperti Reels dan Shorts.
Bagi pembaca di rantau ini, satu dapatan sangat dekat di hati: di Asia, video berita mengatasi teks dari segi populariti pada 2023. Golongan muda juga lebih cenderung menonton daripada membaca berita.
Namun ada kejutan kecil. Walaupun semakin banyak organisasi berita membuka akaun TikTok, jumlah pengikut mereka masih jauh ketinggalan berbanding pempengaruh popular. Menurut pengkaji, gaya penerbitan tradisional sukar menambat perhatian Generasi Z dan cara baharu "menulis" berita telah berubah. Kajian mereka menunjukkan bahawa pertama, tiga saat pertama paling penting. Visual dramatik atau fakta paling menarik perlu muncul segera.
kedua, teks atas skrin menggantikan suara. Video pendek berteks, kurang empat minit, mudah ditonton tanpa bunyi.
ketiga, emosi mendorong perkongsian. Video yang memberi inspirasi, mencetuskan rasa geram atau mengundang ketawa lebih kerap dikongsi.
keempat, setiap platform ada "wilayah"nya. Kandungan perlu disesuaikan mengikut platform, bukan disalin semula. Dengan kata lain, menulis berita bukan lagi sekadar menyusun perenggan. Ia kini tentang menyusun visual, teks dan emosi dalam ruang yang sangat singkat.
Revolusi ini tidak sunyi daripada masalah. Satu isu kekal sejak peringkat pertama: bagaimana menjana pendapatan daripada video berita, terutama di platform pihak ketiga. Kecerdasan buatan (AI) yang kini mampu menghasilkan video juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan wartawan, penyelidik dan pengguna.
Pengkaji turut mengakui kajian mereka hanya berdasarkan pangkalan data Barat dan Rusia, lalu menyeru model ini diuji di rantau lain.
yang pasti, berita tidak lagi menunggu kita di muka depan akhbar. Ia datang menyapa di skrin, dalam beberapa saat sahaja. Persoalannya, adakah bilik berita kita sudah bersedia?
Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan adalah penyelidik dalam ilmu Perangsaraf Media dan Informasi dan pernah menjadi Felo Penyelidik Operasi Psikologi dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (UiTM).
