Sesi fotografi bersama semua peserta Misi Pasca Banjir V-FSK4U Bersama MPP UPSI dan penduduk tempatan di hadapan Balai Raya Kampung Tersusun Batu 7, Lekir. Gambar oleh Ivan Low Wei Jien (Majlis Perwakilan Pelajar UPSI)
Oleh : Nur Anis Izzati Hairuddin & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Pergerakan peserta bermula dari kampus UPSI pada jam 9.00 pagi dengan menaiki bas UPSI yang telah disusun atur lebih awal. Sepanjang perjalanan, para peserta diberikan taklimat ringkas mengenai keselamatan dan tugasan yang akan dijalankan. Rombongan tiba di lokasi sasaran pada jam 11.00 pagi dan disambut mesra oleh penduduk kampung serta Tok Sidang Kampung Tersusun Batu 7 Lekir.
Setibanya di lokasi, pembahagian kerja dilakukan secara sistematik bagi memastikan kelancaran aktiviti. Dua fokus utama telah dikenal pasti iaitu pembersihan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir dan pembersihan Balai Raya Kampung Tersusun Batu 7. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk memindahkan keluar barang-barang rosak, mencuci lumpur yang masih melekat di lantai dan dinding, serta menyusun semula peralatan di balai raya agar dapat digunakan semula oleh penduduk setempat.
Selain tenaga kerja, aspek kelengkapan dan keselamatan turut diberi keutamaan sepanjang misi ini dijalankan.Alatan pembersihan telah dibekalkan oleh pasukan ResQ UPSI bagi memastikan kelancaran dan keselamatan operasi. Antara peralatan yang digunakan termasuk water jet, sarung tangan kain, kasut keselamatan, penarik air serta alatan sokongan lain yang membantu mempercepatkan kerja-kerja pembersihan dan mengurangkan risiko kecederaan.
Slot petang diteruskan di Sekolah Kebangsaan Lekir. Di sana, para peserta membantu memindahkan perabot dari bilik guru ke dalam tong roro yang telah disediakan oleh pihak berkaitan. Aktiviti ini bertujuan membersihkan kawasan sekolah agar sesi persekolahan dapat diteruskan dengan selesa. Selesai tugasan, peserta diberikan masa untuk menunaikan solat serta membersihkan diri. Minum petang turut disediakan oleh pihak sekolah sebagai tanda penghargaan.
Walaupun keadaan banjir masih berlaku di beberapa kawasan sekitar Teluk Intan, misi ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama semua pihak. Rombongan UPSI selamat tiba kembali di kampus pada jam 9.00 malam. Secara keseluruhannya, program MISI PASCA BANJIR V-FSK4U BERSAMA MPP UPSI ini telah mencapai objektifnya dalam membantu komuniti setempat serta memperkukuhkan nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga UPSI.