KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) – Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, selepas diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan diwartakan pada Mei 2025.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan rasmi berkata, penguatkuasaan ONSA merupakan langkah perundangan utama bagi memperkukuh keselamatan ruang digital negara, dengan memberi tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak, keluarga dan pengguna rentan.
Menurut MCMC, akta itu menetapkan tanggungjawab lebih jelas kepada pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk:
Pelaksanaan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko.
Perlindungan khusus kepada kanak-kanak.
Penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), namun tidak terpakai kepada pengguna individu.
Selain itu, peruntukan baharu Seksyen 46A AKM 1998 yang berkuat kuasa pada tarikh sama turut menjadikan platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada serta diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.
MCMC menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
