Aktif Di Persatuan, Hanis Sofea Galak Pelajar Ambil Peluang Dan Cabar Diri

Antara aktiviti Hanis Sofea bersama HADARI



Oleh: Nurul Aina Najwa Binti Ahmad & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Hanis Sofea binti Ahmad Fuaad, pelajar tahun akhir daripada kursus Komunikasi Sosial di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkongsi pengalaman berharganya sepanjang berkhidmat dalam Himpunan Anak Darul Ridzuan (HADARI). Hanis merupakan mantan ahli persatuan tersebut dan telah menyumbang khidmat sepenuhnya selama dua sidang, bermula daripada jawatan Representative Executive (RE) sehingga dilantik ke peringkat Exco. Menurut Hanis Sofea, penglibatan aktif dalam persatuan ini banyak membantu dalam pembentukan jati diri serta kemahiran kepimpinan.

HADARI merupakan sebuah persatuan yang dikhususkan kepada golongan anak Perak di sekitar UPSI. Menurut Hanis Sofea, persatuan ini memberi penekanan terhadap pengukuhan hubungan silaturahim sesama anak Perak selain melaksanakan pelbagai program, kempen dan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat. Aktiviti yang dianjurkan bukan sahaja bersifat kebajikan, malah merangkumi pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar. Dia menjelaskan bahawa pengalaman berorganisasi ini memberi pendedahan secara langsung kepada pengurusan program, kerja berpasukan dan kemahiran komunikasi yang amat berguna selepas tamat pengajian.

Selain itu, Hanis Sofea turut berkongsi bahawa penglibatan dalam HADARI mengajarnya untuk lebih bertanggungjawab dalam mengurus masa antara akademik dan komitmen persatuan. Menurutnya, sokongan rakan-rakan dalam persatuan banyak membantu melancarkan setiap perancangan dan pelaksanaan aktiviti.

Hanis Sofea turut memberi kata dorongan kepada pelajar junior yang berminat untuk menyertai HADARI. “Kalau rasa nak masuk, masuk sahaja. Semestinya akan ada cabaran yang perlu dihadapi sekiranya kita menyertai sebarang persatuan, tetapi degree adalah perkara yang kita lakukan sekali dalam hidup. Jadi, grab the chance and try ja buat. Cabar diri sendiri,” ujarnya. Beliau berharap agar lebih ramai pelajar berani mengambil peluang untuk aktif dalam persatuan kerana pengalaman tersebut bukan sahaja memperkukuh kemahiran diri, malah meninggalkan memori bermakna sepanjang bergelar pelajar UPSI.