Pelajar Orang Asli yang mengikuti kursus Bahasa Etnik di UPSI.
Oleh: Nurul Aina Najwa Binti Ahmad & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
“Pengajian bahasa etnik memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami budaya sosial bahasa etnik Kadazan-Dusun, Iban dan Orang Asli di Malaysia, ,” kata Amiza, seorang pelajar Orang Asli dari Perak yang mengikuti kursus Bahasa Etnik, iaitu kursus baharu yang ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Menurutnya, kursus ini bukan sahaja menekankan aspek pembelajaran bahasa, malah turut memberi pendedahan mendalam terhadap latar belakang budaya, adat resam serta nilai sosial masyarakat etnik seperti Kadazan-Dusun, Iban dan Orang Asli yang kaya dengan keunikan tersendiri.
Amiza berkata pengajian dalam bidang bahasa etnik membantu pelajar untuk lebih menghargai kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini serta memupuk sikap saling menghormati antara kaum. Menurutnya, pembelajaran bahasa etnik membuka ruang kepada pelajar untuk memahami cara hidup, pemikiran dan sistem nilai sesuatu komuniti, sekali gus mengurangkan jurang salah faham dalam masyarakat majmuk. Dia turut menggalakkan para pelajar yang berminat untuk mempelajari bahasa etnik agar berani mencuba kursus ini kerana ilmu yang diperoleh bukan sahaja berguna dalam bidang akademik, malah memberi nilai tambah dari segi kefahaman sosial dan kemanusiaan.
Selain itu, Amiza menegaskan bahawa pengajian bahasa etnik juga memainkan peranan penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan bahasa-bahasa minoriti yang semakin terpinggir akibat arus pemodenan dan globalisasi. Menurutnya, bahasa merupakan identiti suatu kaum dan kehilangannya boleh membawa kepada kepupusan warisan budaya. Beliau turut menyatakan bahawa kursus Bahasa Etnik di UPSI memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk belajar secara langsung tentang kepelbagaian budaya Malaysia, sekali gus menyemai semangat perpaduan dan toleransi.
Amiza berharap agar lebih ramai pelajar mengambil peluang mengikuti kursus ini sebagai langkah menyokong pemeliharaan warisan budaya serta membina masyarakat yang lebih inklusif dan saling memahami.
MAKLUMAT PENULIS NAMA: NURUL AINA NAJWA BINTI AHMAD
PENGAJIAN: ISM KOMUNIKASI (KOMUNIKASI SOSIAL)
SEMESTER: 5
TEL: 019-5277330
EMEL: ainamad52@gmail.com