RENCANA: Disiplin Dan Perancangan: Rahsia Sadiqah Kekal Aktif Dan Produktif Sebagai Seorang Pelajar UPSI



Sadiqah Adibah berkongsi tips untuk pelajar yang lain untuk mengurus masa dengan baik.



Oleh: Nurul Aina Najwa Binti Ahmad & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Sadiqah Adibah binti Sazali, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada kursus ISM Kimia, dikenali sebagai seorang pelajar yang aktif menyertai pelbagai program universiti di samping mengekalkan komitmen akademik. Penglibatan aktif dia dalam program dan aktiviti kampus tidak menghalang pencapaian akademik, sebaliknya menjadi platform untuk membentuk kemahiran pengurusan masa dan kepimpinan. Sadiqah berkongsi pengalaman serta pendekatan yang digunakan dalam membahagikan masa antara tanggungjawab akademik dan penglibatan dalam program bagi memastikan kedua-duanya dapat dijalankan dengan seimbang dan berkesan.

 Menurut Sadiqah, perancangan awal merupakan kunci utama dalam memastikan segala urusan dapat diselesaikan dengan baik. “Arahan program biasanya diberikan lebih awal berbanding assignment subjek kita sendiri, jadi kita perlu plan terlebih dahulu,” katanya. Sadiqah yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Program, menegaskan kepentingan menyusun atur perancangan serta mengadakan perbincangan awal bersama pengarah program sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti. Menurutnya, perancangan yang rapi dapat mengelakkan tekanan dan kekeliruan ketika program berlangsung.

 Selain itu, Sadiqah berkata pelajar perlu bijak mengatur masa mesyuarat dan perbincangan agar tidak terlalu mengganggu jadual akademik. Sebagai contoh, hujung minggu seperti hari Sabtu sering digunakan untuk perbincangan program, manakala hari Rabu pagi, yang dikenali sebagai Hari Rabu Qalbu dan tiada kelas pada waktu pagi, dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancang program atau menyiapkan tugasan akademik.

 Dia turut menasihati pelajar agar tidak terlalu fokus kepada program sehingga mengabaikan tugasan akademik. “Jangan tangguh kerja assignment kerana kedua-duanya memberikan manfaat, tetapi pelajaran harus diutamakan,” ujarnya. Sadiqah turut menyampaikan kata semangat kepada pelajar agar terus berusaha dan berdisiplin. “You can do it. Just do as you plan, but remember that semuanya atas izin Allah,” katanya. Menurutnya, disiplin diri, perancangan yang baik dan kebergantungan kepada Allah mampu membantu pelajar menyeimbangkan akademik dan aktiviti kokurikulum dengan jayanya.