#AyatOfTheDay Membakar Semangat Pelajar UPSI bagi Meneruskan Minggu Akhir Kuliah

Oleh Wan Nur Izzah Binti Wan Roslan & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hassan 

TANJUNG MALIM — Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melancarkan "Projek Sahabat" yang berteraskan inisiatif #AyatOfTheDay (#AOTD) bagi menyantuni kebajikan emosi dan rohani para mahasiswa di kafetaria Kolej Harun Aminurrashid. Projek ini dijalankan pada 13 Januari 2026 yang bertujuan untuk memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada para pelajar yang berhadapan dengan minggu perkuliahan yang padat.

Bagi melaksanakan projek ini, ahli KeSUA akan bertindak menghampiri rakan mahasiswa yang berada di kafetaria dengan meminta mereka untuk memilih sekeping kad yang disediakan. Di bahagian belakang kad tersebut, terdapat soalan, fakta, atau petikan daripada ayat Al-Quran, hadis, dan pesanan positif sebagai inspirasi harian mereka.

Projek ini merupakan inisiatif berkala yang dilakukan oleh kelab ini yang mana sebelum ini memfokuskan kepada Street Dakwah, namun kali ini "Projek Sahabat" dilaksanakan dalam skala kumpulan yang lebih kecil. Bagi aktiviti Street Dakwah, biasanya akan mengadakan program sokongan seperti Weekly with KeSUA (WWK) secara atas talian untuk membincangkan topik-topik ilmiah seperti adab bersama ibu bapa. 

Menurut Aisyah Amirah Al-Akhtar, pendekatan ini bertujuan mengajak mahasiswa agar tidak terlalu terikat dengan tekanan akademik semata-mata, sebaliknya kembali mencari ketenangan melalui pengisian kerohanian. Beliau menjelaskan bahawa projek ini berlandaskan tiga elemen utama KeSUA iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Sementara itu, Ku Muhammad Arif bin Ku Khairul Nizam berkata projek ini berasaskan elemen Quranik dengan usaha menyampaikan kefahaman al-Quran dalam pendekatan yang lebih dekat dengan mahasiswa. KeSUA berharap agar inisiatif #AOTD ini dapat membantu mahasiswa UPSI mengekalkan momentum positif sehingga tamat semester.