Green Bag: Let’s Talk Green Dialogue Perkukuh Kesedaran Kelestarian Alam di UPSI

Peserta menghasilkan rekaan masing-masing pada beg guna semula. Gambar oleh: Nurul Syamirah Zamrey

Oleh: Nurul Syamirah Zamrey & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

TANJONG MALIM, 20 Disember 2025 – Program Green Bag: Let’s Talk Green Dialogue telah berjaya dianjurkan di Dewan Kuliah Pusat 7, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai satu inisiatif mendidik dan meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar serta amalan gaya hidup lestari. 

Program ini dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Sosial dengan sokongan kerjasama beberapa pihak berkaitan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan mampan dan kesejahteraan alam sekitar. Bertemakan penggunaan beg mesra alam, program ini memberi penekanan kepada amalan Recycle, Rethink dan Rebag sebagai langkah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam kehidupan seharian.

Pengisian utama program ialah sesi dialog dan perkongsian ilmu bersama panel jemputan, Puan Aini Oriza Binti Ramli, Pegawai Kawalan Kanan dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak. Beliau telah berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan isu pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa pepejal serta peranan masyarakat khususnya golongan muda dalam memelihara kelestarian alam. Sesi ini turut membuka ruang perbincangan dua hala yang membolehkan peserta mengemukakan soalan dan pandangan berkaitan isu alam sekitar yang semakin mencabar.

Selain sesi dialog, program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti DIY Totebag, di mana para peserta diberi peluang untuk menghasilkan beg guna semula secara kreatif. Aktiviti ini bukan sahaja mencungkil bakat dan kreativiti peserta, malah menyampaikan mesej bahawa barangan harian boleh dihasilkan secara lestari tanpa bergantung sepenuhnya kepada produk komersial yang menyumbang kepada sisa plastik. Aktiviti berbentuk praktikal ini dilihat berkesan dalam menyampaikan mesej kelestarian secara santai dan interaktif.

Menurut Pengarah Program, program Green Bag ini bertujuan untuk membentuk kesedaran jangka panjang dalam kalangan pelajar agar lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, bermula dengan perubahan kecil seperti membawa beg guna semula ketika membeli-belah. Pendekatan pendidikan melalui dialog dan aktiviti praktikal diharap mampu memberi impak yang lebih mendalam berbanding penyampaian maklumat secara teori semata-mata.

Secara keseluruhannya, Green Bag: Let’s Talk Green Dialogue bukan sekadar sebuah program kesedaran, malah menjadi platform pendidikan dan tindakan yang menyokong agenda kelestarian di peringkat universiti.