Oleh Gregory Shane Bong
Tanjung Malim, - Kelab Muay Thai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan sesi sparring persahabatan dalam kalangan ahlinya pada 16 Januari 2026 di Pusat Sukan UPSI sebagai usaha mengeratkan hubungan ahli serta mengenal pasti wakil pahlawan Muay Thai baharu universiti.
Aktiviti sparring persahabatan ini melibatkan ahli Kelab Muay Thai UPSI sahaja dan dijalankan mengikut kategori berat badan bagi memastikan keadilan serta keselamatan peserta. Program ini bukan sekadar sesi latihan, malah menjadi platform penting untuk menilai potensi ahli yang berkemampuan mewakili UPSI dalam kejohanan akan datang.
Menurut penganjur, objektif utama penganjuran sesi ini adalah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli kelab, di samping mencungkil bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama UPSI dalam arena Muay Thai. Selain itu, aktiviti ini turut berperanan meningkatkan profil dan nama Kelab Muay Thai UPSI dalam kalangan pelajar universiti.
Sesi sparring ini dijalankan mengikut peraturan amateur Muay Thai dengan penekanan terhadap aspek keselamatan. Hanya ahli kelab dan pelajar UPSI yang berpengalaman bertindak sebagai jurulatih serta pengadil bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang aktiviti berlangsung. Peralatan rasmi kelab digunakan, namun ahli yang memiliki peralatan sendiri turut digalakkan membawanya untuk digunakan.
Pemerhatian di lokasi mendapati suasana program berlangsung dalam keadaan meriah dan penuh semangat kesukanan. Sorakan dan sokongan sesama ahli mencerminkan semangat kekeluargaan serta komitmen tinggi terhadap sukan Muay Thai.
Presiden Kelab Muay Thai UPSI, Shahfrikal, menyatakan bahawa sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai ahli menyuarakan hasrat untuk mengadakan sesi sparring seumpama ini secara berterusan pada masa akan datang.
“Insya’Allah ya kami akan mengadakan sesi sparring ini untuk sesi yang seterusnya supaya Kelab Muay Thai kami tetap aktif dan mampu menarik minat pelajar lain untuk turut datang menjadi ahli muay thai.” Katanya lagi.
Penganjuran sparring persahabatan ini membuktikan kesungguhan Kelab Muay Thai UPSI dalam membangunkan bakat sukan tempur secara tersusun dan selamat. Inisiatif sebegini bukan sahaja memperkukuh prestasi ahli, malah berpotensi melahirkan pahlawan Muay Thai yang mampu mengharumkan nama UPSI di peringkat lebih tinggi.