Lawatan Sambil Belajar Skuad 20 Ke PGM Pulau Pinang Dan PGU Ipoh

Oleh: Corina Stephen dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan 

TANJONG MALIM - Skuad 20 Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) telah  mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Pasukan Gerakan Marin (PGM), Pulau Pinang dan  Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Ipoh bermula pada 10 hingga 11 Januari  yang lalu. 

Lawatan ini telah diiringi oleh Jurulatih Skuad 20, iaitu Koperal Mohammad Fauzan bin Ramli  dan Koperal Fredrick anak Willie, bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelatih  mengenai peranan, fungsi serta bidang tugas unit-unit khas dalam Polis Diraja Malaysia  (PDRM). 

Pada hari pertama, lawatan telah diadakan ke Pasukan Gerakan Marin (PGM), Pulau Pinang.  Ketibaan Skuad 20 telah disambut oleh Inspektor Loo Leong Leng, Inspektor Kepolisian Am  PPM W1, Pulau Pinang. Sepanjang lawatan, para pelatih telah diberikan pendedahan mengenai  asas kerja PGM, termasuk peranan pasukan tersebut dalam keselamatan perairan negara. Selain  itu, pelatih turut didedahkan kepada beberapa alatan dan kelengkapan operasi yang digunakan  oleh PGM dalam melaksanakan tugas harian.

Seterusnya, pada hari kedua, lawatan diteruskan ke Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara  (PGU), Ipoh. Taklimat dan sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh ASP Muhammad  Adam bin Mat Deris, selaku wakil Komandan Pangkalan Latihan PGU. Beliau telah  memberikan penerangan berkaitan fungsi, peranan serta skop tugas Pasukan Gerakan Udara,  termasuk kepentingan unit ini dalam menyokong operasi keselamatan dan kecemasan di  peringkat nasional. 

Secara keseluruhan, lawatan ini telah memberi manfaat besar kepada para pelatih Skuad 20  dalam memperluaskan pengetahuan serta meningkatkan kefahaman mengenai operasi dan  peranan unit-unit khas PDRM. Diharapkan pendedahan ini dapat menyemai semangat  profesionalisme serta meningkatkan motivasi pelatih dalam menjalani latihan SUKSIS pada  masa akan datang.