Oleh Corina Stephen dan Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJONG MALIM – Skuad 19 Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini giat menjalani persiapan rapi menjelang Majlis Pentauliahan Kor SUKSIS Universiti Awam yang lazimnya diadakan pada cuti semester sekitar bulan Ogos atau September setiap tahun.
Menurut Pegawai Jurulatih, Koperal Mohd Zakaria Bin Samsuri, tarikh rasmi majlis pentauliahan bagi tahun ini masih belum dimuktamadkan kerana pihak penganjur belum mengadakan mesyuarat pengesahan. Namun, bagi tahun 2026, Majlis Pentauliahan Kor SUKSIS dijadualkan berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkata, persediaan awal Skuad 19 merangkumi latihan kawad mingguan yang dilaksanakan dua hari setiap minggu bagi memastikan tahap disiplin dan kesiapsiagaan pelatih berada pada tahap terbaik. Bagi Semester 2 sesi 2025/2026, latihan dijalankan dari pagi hingga petang pada hari pertama dan dari pagi hingga tengah hari pada hari kedua.
Selain itu, satu latihan intensif selama seminggu akan diadakan sebelum semua pelatih berangkat ke lokasi pentauliahan. Latihan tersebut melibatkan kawad senjata M16 serta simulasi penuh istiadat pentauliahan termasuk penerimaan sijil di dalam dewan.
Mengulas cabaran sepanjang latihan, kehadiran pelatih juga menjadi antara cabaran utama berikutan penglibatan mereka dalam aktiviti fakulti dan tugasan universiti. Selain itu, sikap segelintir pelatih yang kurang memberi komitmen serta kekangan penggunaan padang kawad turut memberi kesan terhadap kelancaran latihan.
Dalam pada itu, barisan jurulatih merakamkan tahniah kepada Skuad 19 atas komitmen dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang tempoh latihan serta berharap agar mereka terus menjunjung nilai amanah dan tanggungjawab sebagai pegawai kadet.
Akhir sekali, Jurulatih Koperal Mohd Amrie Bin Mohd Haris, turut berharap agar segala urusan sepanjang tempoh latihan dan Majlis Pentauliahan kelak dipermudahkan. Beliau juga mendoakan agar semua pelatih Kor SUKSIS, khususnya Skuad 19, sentiasa berada dalam lindungan serta berjaya di dunia dan akhirat.