Pameran Lestari Warisan 2.0 Tonjol Keindahan Seni Tradisional di FBK

 

Oleh : Nurshafiqah Ashikin Binti Judding

TANJONG MALIM – Pameran Lestari Warisan 2.0 yang berlangsung di Atrium, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) hari ini berjaya menarik perhatian warga JKOM dengan mengetengahkan keindahan, keunikan serta nilai warisan tradisional bangsa secara kreatif dan berinformasi.

Pameran yang diadakan dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu mempamerkan pelbagai elemen warisan budaya tempatan termasuk seni tekstil, kraftangan serta dokumentasi visual yang dihasilkan oleh para pelajar. Suasana pameran menjadi lebih meriah apabila pengunjung turut digalakkan mengenakan pakaian tradisional sebagai tanda sokongan terhadap usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya negara.

Menurut saudari Saidatu Natasya binti Mohd Sabli, pelajar Semester 1 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Content Development) AB15, pameran ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempersembahkan hasil dokumentasi warisan dalam bentuk yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Antara hasil pameran yang kami ketengahkan ialah seni keris, yang telah kami dokumentasikan dari segi sejarah, simbolik dan nilai estetikanya. Melalui pameran ini, kami berharap masyarakat khususnya generasi muda dapat lebih menghargai seni warisan yang semakin dilupakan,” katanya ketika ditemu bual.

Penganjuran Pameran Lestari Warisan 2.0 bukan sahaja bertujuan mempamerkan hasil kerja pelajar, malah berperanan sebagai platform kesedaran untuk menggalakkan apresiasi terhadap warisan budaya dalam kalangan warga universiti dan masyarakat setempat.

Pihak penganjur berharap pameran seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan dalam menyemarakkan semangat cintakan warisan dan identiti bangsa.