Pelajar Semester 1 bagi Program Pembangunan Kandungan (AB15) Julang Warisan Malaysia Melalui Pameran Lestari Warisan 2.0
Oleh Wan Nur Izzah Binti Wan Roslan & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM — Atrium Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tumpuan warga kampus dengan penganjuran Pameran Lestari Warisan 2.0 (Exhibition: Sustain Heritage 2.0) pada 14 Januari 2026. Pameran visual yang berlangsung ini merupakan hasil kreativiti dan penyelidikan mahasiswa/i semester 1 daripada program Pembangunan Kandungan (AB15).
Pengarah Program, Nur Qistina Damia binti Erwan, menyatakan bahawa projek ini merupakan sebahagian daripada tugasan bagi subjek Komunikasi Antara Budaya (BKC3023). Beliau menjelaskan bahawa pameran ini bertujuan untuk melatih kemahiran teknikal yang dipelajari oleh mereka.
Pameran ini memaparkan hasil kerja etnografi visual yang merakam naratif kehidupan serta kearifan para pengusaha tempatan warisan di Malaysia. Melalui lensa kamera, mereka mendokumentasikan ketekunan dan warisan budaya yang dikumpulkan secara langsung daripada para artisan di serata negeri bagi memastikan khazanah tersebut terus dihargai oleh generasi masa kini. Antara kawasan kajian lapangan ini merangkumi negeri Pulau Pinang, Perak, Pahang, Melaka, Johor, Terengganu dan Kedah.
“Kami berharap pameran ini dapat memberi pendedahan kepada orang ramai terutamanya pelajar antarabangsa tentang kekayaan budaya yang negara Malaysia miliki” Ujar Nur Qistina Damia Binti Erwan ketika ditemu bual.
Program yang dianggarkan menerima kehadiran kira-kira 400 pengunjung ini dirasmikan oleh Dr Nur Nadia Binti Abd Mubin selaku penyelaras program di bawah Jabatan Komunikasi (JKOM), FBK.
Secara keseluruhannya, Pameran Lestari Warisan 2.0 berjaya membuktikan bahawa mahasiswa semester 1 mampu untuk memikul tanggungjawab dalam memupuk keadaran tentang warisan negara melalui komunikasi yang professional.
