PENDAPAT: "Survival Mode On": Misi 'Study Marathon' Mahasiswa UPSI di Perpustakaan Tuanku Bainun Bermula!
Oleh Sharifah Syakirah Shahabudin Binti Syed Kamarulzaman & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Menjelang bermulanya minggu 14 dan musim peperiksaan akhir, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) kini menjadi tumpuan utama ribuan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang memulakan rutin "study marathon". Suasana di perpustakaan berubah drastik apabila hampir setiap sudut dan meja dipenuhi seawal jam 8:30 pagi lagi. Peningkatan jumlah pengunjung ini jelas menunjukkan komitmen tinggi para pelajar untuk melakukan persiapan saat-saat akhir (last minute) dalam persekitaran yang lebih kondusif dan tenang berbanding di bilik kediaman masing-masing.
Pelbagai gelagat unik mahasiswa dapat dilihat sepanjang tempoh ini bagi memastikan mereka kekal fokus dan bertenaga. Ada pelajar yang sanggup membawa bantal kecil dan jaket tebal bagi menghadapi suhu pendingin hawa yang sejuk untuk tempoh yang lama, malah bilik-bilik perbincangan sentiasa ditempah penuh bagi sesi ulangkaji berkumpulan. Selain itu, meja-meja belajar kini "dihiasi" dengan pelbagai minuman kafein dan makanan ringan sebagai teman setia untuk melawan rasa mengantuk semasa menelaah nota-nota kuliah hingga ke waktu perpustakaan ditutup.
Kemudahan mesin layan diri (vending machine) yang ditempatkan di kawasan lobi perpustakaan turut mendapat sambutan luar biasa kerana memudahkan pelajar mendapatkan minuman segar tanpa perlu keluar jauh dari kawasan belajar. Walau bagaimanapun, dalam keasyikan mengejar silibus, warga kampus diingatkan untuk sentiasa menjaga etika belajar terutamanya dari segi kawalan suara di zon senyap. Sikap bertimbang rasa seperti tidak meninggalkan barang peribadi di atas meja terlalu lama bagi "menempah" tempat (choping) juga amat ditekankan supaya semua pelajar mendapat peluang yang sama untuk menggunakan kemudahan yang ada.
Secara keseluruhannya, fenomena "study marathon" ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan akademik mahasiswa, malah mempupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakan sekuliah. Sokongan daripada pihak perpustakaan yang menyediakan fasiliti terbaik amat membantu pelajar dalam menghadapi tekanan peperiksaan dengan lebih bersedia. Semoga segala usaha keras dan pengorbanan masa tidur para pelajar UPSI di Perpustakaan Tuanku Bainun ini bakal membuahkan hasil yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan nanti.