Gambar: Pelajar tahun akhir ISM Komunikasi Sosial, Pensyarah JKOM bersama ahli jawatankuasa COMM MET GALA 2026
Oleh: Daniel Nurhakim & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJONG MALIM – Persatuan Komunikasi (PERKOM) UPSI telah menganjurkan majlis makan malam berprestij bertemakan 'Met Gala' bagi meraikan mahasiswa Semester 5 kursus Komunikasi Sosial yang bakal menjalani latihan industri. Majlis yang penuh emosi ini bertujuan menghargai jasa serta dedikasi pelajar sebelum mereka melangkah keluar meninggalkan kampus.
Suasana gilang-gemilang di dewan itu dimeriahkan dengan kehadiran Dekan Fakulti Bahasa & Komunikasi (FBK), Prof. Madya Dr. Mazura@Mastura, dan Ketua Jabatan Komunikasi, Dr. Serina Yusuf. Turut hadir memberikan sokongan adalah rakan kolaborasi industri, kakitangan fakulti, serta adik-adik junior dari Semester 1 dan 3 yang meraikan kejayaan senior mereka.
Majlis ini dilaksanakan dengan penuh gaya, menggabungkan elemen fesyen tinggi dan sesi networking antara pelajar bersama pengamal industri. Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Mazura mengingatkan pelajar agar sentiasa menjaga integriti fakulti sepanjang berada di lapangan pekerjaan nanti.
Bagi pelajar Semester 5, malam tersebut merupakan detik Renjana yang menyatukan rasa bangga dan sayu. Meskipun bakal berpisah dengan bumi Tanjong Malim, memori yang terbina sepanjang lima semester akan kekal menjadi bekal kekuatan. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi sebagai simbolik ukhuwah yang tidak akan terputus walaupun jarak memisahkan mereka selepas ini.