Oleh Corina Stephen dan Dr. Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJONG MALIM – Pasukan Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Pertahanan Awam (SUKSIS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta kejayaan cemerlang apabila berjaya merangkul johan keseluruhan dalam Sukan Tahunan (SUTRA) SUKSIS Ke-13 Zon Utara yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penuh semangat kesukanan.
Dalam kejohanan tersebut, Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul sebagai naib johan, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) menduduki tempat ketiga keseluruhan, sekali gus melengkapkan kedudukan tiga terbaik bagi edisi kali ini.
Pelbagai acara sukan telah dipertandingkan sepanjang kejohanan berlangsung, antaranya bola jaring, bola sepak, badminton, bola tampar serta beberapa sukan lain yang menguji tahap kecergasan fizikal, kemahiran dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan anggota SUKSIS.
Kejayaan SUKSIS UPSI ini membuktikan tahap disiplin, komitmen serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan peserta, selari dengan objektif penubuhan SUKSIS yang menekankan keseimbangan antara akademik, kepimpinan dan pembangunan sahsiah pelajar.
Penganjuran SUTRA Ke-13 SUKSIS Zon Utara di UPSI bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan dalam kalangan mahasiswa, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh semangat perpaduan antara pasukan SUKSIS dari institusi pengajian tinggi seluruh Zon Utara.