ANTARA AMANAH DAN AKADEMIK: CABARAN MENGIMBANGI DUA TANGGUNGJAWAB


Oleh: Christoper Leo Andrew, Muhamad Iman Ziedan Bin Suhaidi dan Dr. Ahmad Sauffiyyan Abu Hassan


TANJUNG MALIM – Tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Kolej (YDP) bukanlah satu tugas yang mudah, namun ia tidak menjadi penghalang kepada kecemerlangan akademik bagi pemimpin pelajar di Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).


Menurut beliau, cabaran utama yang dihadapi adalah mengimbangi masa antara komitmen akademik dengan tanggungjawab menguruskan hal ehwal kolej, termasuk penganjuran program, mesyuarat serta menjaga kebajikan penghuni kolej. Situasi menjadi lebih mencabar apabila program kolej berlangsung serentak dengan tugasan akademik dan persediaan peperiksaan.


Bagi memastikan kedua-dua aspek dapat diuruskan dengan baik, beliau mengamalkan pengurusan masa yang sistematik melalui penyusunan jadual harian dan mingguan. Setiap tugasan disusun mengikut keutamaan bagi memastikan urusan kolej dan pembelajaran dapat berjalan lancar.


Beliau turut menegaskan bahawa akademik sentiasa menjadi keutamaan walaupun memegang jawatan kepimpinan. Oleh itu, tugasan akademik akan disiapkan lebih awal sekiranya terdapat program kolej yang memerlukan komitmen yang tinggi.


Mengulas mengenai tekanan yang dihadapi, beliau mengakui terdapat saat-saat yang mencabar, terutamanya ketika berdepan dengan pelbagai tugasan dan tanggungjawab dalam satu masa. Namun, tekanan tersebut berjaya diatasi melalui pengurusan masa yang baik, sokongan daripada barisan jawatankuasa kolej serta komunikasi yang berkesan dalam pasukan.


Sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau memperoleh pelbagai pengalaman berharga seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan konflik, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan. Menurutnya, pengalaman ini menjadi nilai tambah yang penting dalam membentuk jati diri dan persediaan menghadapi alam pekerjaan pada masa akan datang.


Beliau turut menasihatkan mahasiswa yang berminat untuk memegang jawatan kepimpinan agar sentiasa berdisiplin dan bijak mengurus masa. Katanya, akademik dan kepimpinan bukanlah dua perkara yang perlu dipilih salah satu, sebaliknya kedua-duanya boleh dicapai secara seimbang dengan perancangan yang baik.


“Kepimpinan di kolej memberikan banyak pengalaman yang tidak diperoleh di dalam bilik kuliah. Jika diurus dengan baik, mahasiswa bukan sahaja mampu cemerlang dalam akademik, malah dapat membangunkan kemahiran insaniah yang berguna untuk masa depan,” katanya.