Oleh: Christoper Leo Andrew dan Dr. Ahmad Sauffiyyan Abu Hassan
TOKYO – Jepun mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud melanda perairan luar pantai wilayah Iwate pada petang Isnin.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, gempa yang berlaku pada kedalaman 10 kilometer itu berpotensi menghasilkan ombak tsunami setinggi tiga meter yang boleh menjejaskan kawasan Iwate, Aomori dan Hokkaido.
Susulan kejadian itu, stesen penyiaran nasional NHK menggesa penduduk yang tinggal berhampiran pantai dan sungai supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. Orang ramai turut diingatkan supaya mengambil iktibar daripada tragedi gempa bumi dan tsunami 11 Mac 2011.
Gegaran dilaporkan dirasai sehingga ke Tokyo dengan beberapa bangunan bergoyang selama beberapa minit. Pihak berkuasa bagaimanapun terus memantau keadaan dan menjalankan langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada penduduk.
Kejadian ini sekali lagi membuktikan bahawa Jepun kekal terdedah kepada bencana gempa bumi kerana kedudukannya di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik.