KITAKUO 2026 SATUKAN MAHASISWA MELALUI KONSEP “THE REUNION WAVE”


Oleh: Christoper Leo Andrew dan Dr. Ahmad Sauffiyyan Abu Hassan

TANJUNG MALIM – Festival KITAKUO 2026 yang dianjurkan oleh Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil dengan konsep unik “The Reunion Wave” bagi menghimpunkan mahasiswa dalam suasana yang penuh kemeriahan, perpaduan dan semangat kekeluargaan.

Menurut Pengarah Program KITAKUO 2026, Nursafika Binti Amat, 23, objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk menyediakan platform kepada mahasiswa bagi mengembangkan bakat, mengeratkan hubungan sosial serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga kampus. Program ini juga bertujuan melahirkan mahasiswa yang aktif, kreatif dan berketerampilan melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Tema “The Reunion Wave” dipilih kerana ia melambangkan pertemuan semula mahasiswa daripada pelbagai latar belakang dan institusi dalam satu gelombang semangat yang sama. Konsep tersebut turut mencerminkan suasana kemeriahan, kebersamaan dan kenangan yang ingin diwujudkan sepanjang festival berlangsung.

Antara tarikan utama KITAKUO 2026 ialah pelbagai aktiviti berteraskan akademik, sukan, kebudayaan, e-sukan, keusahawanan dan hiburan yang melibatkan penyertaan mahasiswa UPSI serta peserta daripada institusi pengajian tinggi lain. Kepelbagaian pengisian program ini menjadikan festival tersebut lebih inklusif dan mampu menarik penyertaan daripada pelbagai kelompok mahasiswa.

Pihak penganjur percaya bahawa program seperti KITAKUO 2026 mampu menjadi medium terbaik untuk memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa tempatan dan peserta luar melalui interaksi, kerjasama serta pertukaran idea sepanjang aktiviti dijalankan. Hubungan yang terjalin bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah membuka peluang jaringan yang bermanfaat pada masa hadapan.

Pengarah Program, Nursafika Binti Amat

Mengulas mengenai harapan terhadap peserta, pihak penganjur berharap agar setiap individu yang terlibat dapat memperoleh pengalaman bermakna, meningkatkan kemahiran insaniah serta membawa pulang kenangan indah yang akan dikenang sepanjang kehidupan sebagai mahasiswa.

Dalam pada itu, detik paling bermakna sepanjang proses perancangan festival ini adalah apabila semua kluster dan jawatankuasa dapat bekerjasama dalam merealisasikan visi yang sama. Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh seluruh warga kerja menjadi pemangkin utama kepada kejayaan penganjuran program berskala besar tersebut.

Walau bagaimanapun, cabaran terbesar yang dihadapi adalah menyelaras pelbagai kluster, aktiviti dan peserta dalam tempoh yang sama. Namun, melalui komunikasi yang berkesan serta komitmen tinggi daripada semua pihak, setiap cabaran berjaya diatasi dengan baik.

Menurut penganjur, perkara yang paling dinantikan untuk dipertontonkan kepada pengunjung tahun ini ialah suasana festival yang lebih meriah, pengisian program yang pelbagai serta pengalaman unik yang menampilkan identiti dan semangat Kolej Ungku Omar.

“Kami berharap KITAKUO 2026 bukan sekadar sebuah festival, tetapi menjadi platform yang menyatukan mahasiswa melalui pengalaman, persahabatan dan kenangan yang akan terus dikenang,” katanya.