Oleh: Christoper Leo Andrew dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Pulau Langkawi - Exco Uniti dan Diversiti, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Program ECOVIBE: Biodiversiti Kita, “Satu Bumi, Satu Harapan” sebagai platform mahasiswa dan mahasiswi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyemai cinta terhadap biodiversiti dan kelestarian bumi. Program yang berteraskam kesukarelawanan alam sekitar ini melibatkan mahasiswa dan mahasiswi UPSI seramai 45 orang yang membawa tanggungjawab mahasiswa sebagai figura perubahan dalam usaha memelihara khazanah alam semula jadi dalam negara.
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula dari 9 hingga 11 Januari 2026 ini bertujuan untuk mencapai objektif seperti meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan keseimbangan ekosistem darat dan marin. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, program ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang biodiversiti, malah memupuk rasa tanggungjawab, keprihatinan serta rasa cinta terhadap alam sekitar yang semakin tergugat kehidupannya akibat aktiviti kerakusan manusia. Penganjuran program ini turut dikukuhkan melalui kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), UNESCO Global Geopark, Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak, DOKTEDOBI, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Pusat Islam serta UPSI Holdings, sekali gus menyokong usaha pemerkasaan ekopelancongan dan pembangunan ekonomi hijau yang lestari di Langkawi UNESCO Global Geopark.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, merangkumi aspek pendidikan, pemuliharaan dan kesukarelawanan alam sekitar. Antaranya termasuklah aktiviti penanaman pokok bakau di Kubang Badak Biogeotrail yang bertujuan memelihara ekosistem paya bakau sebagai benteng semula jadi dan habitat biodiversiti. Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai aktiviti penanaman terumbu karang di Pulau Jemuruk, di mana fasilitator marin memberikan taklimat sebelum peserta bergilir melakukan semaian terumbu karang.
Aktiviti penanaman Pokok Bakau
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, merangkumi aspek pendidikan, pemuliharaan dan kesukarelawanan alam sekitar. Antaranya termasuklah aktiviti penanaman pokok bakau di Kubang Badak Biogeotrail yang bertujuan memelihara ekosistem paya bakau sebagai benteng semula jadi dan habitat biodiversiti. Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai aktiviti penanaman terumbu karang di Pulau Jemuruk, di mana fasilitator marin memberikan taklimat sebelum peserta bergilir melakukan semaian terumbu karang.
Aktiviti Penanaman Terumbu Karang
Menurut saudari Ainin Safiyya, salah seorang peserta program Ecovibe “Program ini merupakan satu program yang berimpak tinggi dalam memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya biodiversiti darat dan marin. Program seperti ini bukan sekadar bercuti sahaja malah ia seperti lawatan sambil membuat benda yang berfaedah. Saya sangat beruntung apabila dapat menyertai program seperti ini. Saya berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa yang akan datang ”.
Sesi Penanaman Terumbu Karang
Tema “Satu Bumi, Satu Harapan” menekankan bahawa bumi kita adalah milik bersama dan kelestariannya bergantung pada tindakan kolektif semua pihak. Program ini bukan sekadar aktiviti lapangan, malah menjadi platform pembentukan jati diri mahasiswa dan mahasiswa yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan berwawasan, sekali gus membuktikan kesediaan mereka dalam menyumbang secara langsung dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Program ECOVIBE: Biodiversiti Kita, “Satu Bumi, Satu Harapan” menjadi bukti bahawa setiap perubahan bermula apabila kesedaran diterjemahkan kepada tindakan. Dengan langkah kecil yang digerakkan bersama, harapan untuk melindungi biodiversiti dan kelestarian bumi bukan lagi sekadar impian, tetapi sebuah komitmen yang hidup dalam jiwa generasi muda.