AZEEM FAHMI CIPTA SEJARAH DI NCAA, JADI INSPIRASI KEPADA MAHASISWA MALAYSIA

 Oleh : Akmal Haziq Sulaiman & Dr Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan

Rajah 1: Muhammad Azeem Fahmi ketika beraksi mewakili Auburn University dalam acara 100 meter NCAA. Sumber: Laman Facebook Auburn Track & Field

TANJONG MALIM, 30 Mei - Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mara ke Grand Final acara 100 meter Kejohanan NCAA selepas mencatat masa 10.09 saat dalam saingan suku akhir NCAA Track & Field East Regional di Amerika Syarikat.

Mewakili Auburn University, Azeem terlebih dahulu mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat masa 10.13 saat pada pusingan awal sebelum meningkatkan prestasinya kepada 10.09 saat untuk melayakkan diri ke peringkat akhir NCAA yang akan berlangsung di Oregon.

Memetik laporan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), kejayaan catatan 10.09 saat itu membolehkan Azeem menamatkan saingan di kedudukan ketiga dalam saringan pertama, sekaligus melayakkan beliau secara merit ke pusingan akhir Kejohanan Olahraga Divisyen 1 NCAA. Laporan agensi berita tersebut turut meletakkan Azeem, yang juga pemegang rekod kebangsaan, di landasan yang tepat untuk terus bersaing dengan pelari-pelari elit dari pelbagai universiti terkemuka di Amerika Syarikat

Perjalanan Azeem bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah. Sejak melanjutkan pengajian ke Auburn University, beliau berjaya menyeimbangkan tuntutan akademik dan kerjaya sebagai atlet berprestasi tinggi. Melalui disiplin, komitmen serta kesungguhan yang berterusan, beliau berjaya membina reputasi sebagai antara pelari pecut terbaik yang dimiliki Malaysia ketika ini.

Rajah 2: Keputusan rasmi NCAA yang memaparkan catatan masa cemerlang Azeem Fahmi dalam acara 100 meter. Sumber: Laman Facebook Malaysia_sport

Kejayaan yang dicapai oleh Azeem membawa mesej yang sangat penting kepada mahasiswa dan mahasiswi di Malaysia. Dalam era persaingan global yang semakin mencabar, pelajar universiti tidak seharusnya mengehadkan potensi mereka hanya di dalam bilik kuliah. Sebaliknya, mereka perlu berani meneroka peluang dalam bidang sukan, kepimpinan, penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat diri yang lain.

Selain itu, kejayaan Azeem membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan pencapaian kokurikulum mampu bergerak seiring. Beliau menjadi contoh bahawa pelajar universiti boleh mencapai kejayaan besar sekiranya mempunyai matlamat yang jelas, disiplin yang tinggi serta kesediaan untuk keluar daripada zon selesa.

Dalam konteks kemenjadian pelajar universiti di Malaysia, kisah Azeem seharusnya dijadikan inspirasi untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai daya saing global, kemahiran kepimpinan dan keupayaan untuk mengangkat nama negara di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhannya, pencapaian Muhammad Azeem Fahmi di Kejohanan NCAA bukan sekadar kejayaan individu, malah menjadi simbol kecemerlangan generasi muda Malaysia. Semangat juang, disiplin dan dedikasi yang ditunjukkan beliau wajar dijadikan tauladan oleh seluruh warga universiti dalam usaha membentuk mahasiswa yang berkualiti, berdaya saing dan mampu membawa nama Malaysia ke persada dunia.