Bahaya Berita Palsu dalam kalangan pelajar :Apa kata mereka ?



Oleh: Ngoh Xin Wei dan Dr. Ahmad Saufiyyan Abu Hassan



Tanjung Malim, 13 April - Berita palsu semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat melalui media sosial dan medium digital. Penyebaran maklumat yang tidak sahih ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap berita yang benar dan sahih. Dalam era teknologi yang serba pantas, maklumat dapat disebarkan hanya dalam beberapa saat tanpa tapisan yang jelas. Situasi ini menyebabkan masyarakat sukar membezakan antara fakta dan penipuan, terutama apabila berita tersebut disampaikan dengan tajuk sensasi dan menarik perhatian pengguna internet.


Fenomena berita palsu semakin membimbangkan kerana ramai pengguna media sosial cenderung berkongsi maklumat tanpa menyemak sumber terlebih dahulu. Tindakan ini secara tidak langsung mempercepatkan penyebaran maklumat palsu kepada masyarakat. Antara platform yang sering menjadi medium penyebaran berita palsu ialah TikTok, Facebook, Instagram dan WhatsApp kerana penggunaannya yang meluas dalam kalangan semua peringkat umur. Berita palsu boleh melibatkan pelbagai isu seperti kesihatan, politik, pendidikan, keselamatan dan juga hiburan.

Pelbagai pihak, termasuk pelajar, dilihat mempunyai pandangan berbeza terhadap isu ini. Sebahagian menyedari bahaya berita palsu, namun masih ada yang mudah terpengaruh tanpa menyemak kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu. Sikap terlalu mudah mempercayai sesuatu berita boleh memberi kesan negatif kepada individu dan masyarakat. Oleh itu, kesedaran mengenai literasi media dan kepentingan menyemak sumber berita perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.



(Gambar Sesi Temu Bual)


Menurut seorang mahasiswa UPSI iaitu Loo Hui Yin, beliau berkata bahawa berita palsu memberi kesan buruk kerana ia mengelirukan orang ramai dan membuatkan mereka sukar membezakan sama ada sesuatu maklumat itu benar atau tidak. Katanya lagi, ramai pengguna media sosial mudah percaya kepada berita yang tular kerana maklumat tersebut sering disampaikan dalam bentuk yang meyakinkan walaupun tidak mempunyai sumber yang sahih. Beliau berpendapat bahawa masyarakat perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu berita supaya penyebaran maklumat palsu dapat dikurangkan.

(Gambar Sesi Temu Bual)


Selain itu, seorang pelajar semester 4 UPSI iaitu Katherine Chia juga berkata bahawa berita palsu semakin mudah tersebar melalui media sosial dan platform dalam talian. Jika maklumat tidak disemak dengan teliti, orang ramai mudah mempercayainya tanpa mengetahui kesahihannya. Hal ini boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, di samping menjejaskan pemahaman mereka terhadap sesuatu isu serta menimbulkan salah faham yang berpanjangan. Beliau turut menegaskan bahawa pengguna media sosial perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan tidak terlalu bergantung kepada satu sumber sahaja ketika mendapatkan maklumat.

Dalam pada itu, pensyarah dan pihak universiti juga memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar mengenai etika penggunaan media sosial. Pendedahan mengenai cara mengenal pasti berita palsu dan kepentingan mendapatkan maklumat daripada sumber yang dipercayai perlu dipertingkatkan. Kempen kesedaran berkaitan bahaya berita palsu juga boleh dijalankan bagi membantu masyarakat memahami kesan negatif penyebaran maklumat tidak benar.

Tambahan pula, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan aplikasi penyuntingan digital turut menyumbang kepada peningkatan penyebaran berita palsu pada masa kini. Gambar, video dan rakaman suara boleh diubah suai dengan begitu mudah sehingga sukar untuk dikenal pasti kesahihannya oleh orang ramai. Keadaan ini menjadi lebih berbahaya apabila maklumat palsu tersebut melibatkan isu sensitif seperti agama, kaum dan keselamatan negara kerana ia boleh mencetuskan panik serta perpecahan dalam masyarakat.