Oleh: Mohd Faridzuan Mohd Nazri & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM - Penyebaran berita palsu semakin membimbangkan kerana mampu mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku masyarakat dalam era digital. Fenomena yang boleh membawa kesan negatif kepada keharmonian sosial juga mampu menjejaskan kepercayaan terhadap maklumat yang diterima
Menurut pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fikrie bin Nazri, 24, Semester 6 Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, berita palsu mudah tersebar kerana kebanyakan pengguna media sosial cenderung mempercayai maklumat yang diterima tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
“Berita palsu sangat berbahaya kerana ia boleh mengelirukan masyarakat. Ramai pengguna media sosial berkongsi sesuatu maklumat dengan cepat tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau turut menambah bahawa penyebaran maklumat yang tidak sahih boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap sumber berita yang sebenar. Keadaan ini boleh menyebabkan masyarakat sukar membezakan antara maklumat yang benar dan yang palsu.
Sementara itu, Muhammad Shahfeez bin Azam, 23, Semester 6 Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI berkata, berita palsu juga boleh menimbulkan panik serta salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Apabila sesuatu berita palsu tersebar dengan cepat, ia boleh menyebabkan orang ramai menjadi takut atau bimbang walaupun perkara tersebut sebenarnya tidak berlaku,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, kesan penyebaran berita palsu bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh menjejaskan kestabilan sosial jika maklumat yang disebarkan melibatkan isu sensitif seperti keselamatan, kesihatan atau politik.
Amalan literasi media dan penggunaan sumber yang sahih dilihat sebagai langkah penting dalam membendung penularan berita palsu. Sikap bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat serta kesedaran kepentingan semakan fakta membantu masyarakat menjadi lebih bijak dalam menilai sesuatu berita yang diterima.