(Gambar Lesong Mart di Khar Cafe)
Oleh : Ngoh Xin Wei dan Dr. Ahmad Saufiyyan Abu Hassan
TANJUNG MALIM, 6 April – Mini mart baharu yang dikenali sebagai Lesong Mart telah dibuka di Khar Cafe kira-kira dua minggu lalu bagi meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan kepada pelanggan, khususnya dalam kalangan pelajar kolej kediaman. Premis ini merupakan hasil pengubahsuaian daripada mini mart sedia ada yang telah dinaik taraf dengan konsep lebih moden, selesa dan tersusun. Pembaharuan tersebut turut menawarkan pilihan produk yang lebih pelbagai bagi memenuhi keperluan harian pelanggan. Selain itu, susun atur dalaman yang lebih kemas dan teratur memudahkan pelanggan mendapatkan barangan dengan cepat serta menjadikan pengalaman membeli-belah lebih selesa.
Pembukaan Lesong Mart dilihat sebagai satu inisiatif yang memberi manfaat kepada penghuni kolej, terutama pelajar yang sering memerlukan barangan harian tanpa perlu keluar jauh dari kawasan kampus. Antara produk yang dijual termasuk makanan ringan, minuman, ais krim, alat mandian, barangan penjagaan diri serta bahan makanan asas seperti telur dan mi segera. Kehadiran mini mart ini juga dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan Khar Cafe, sekali gus menjadikan kawasan tersebut lebih meriah pada waktu siang dan malam.
Selain menyediakan keperluan asas kepada pelajar, Lesong Mart juga menawarkan suasana yang lebih selesa dan mesra pelanggan. Kawasan mini mart kini dilengkapi dengan pencahayaan yang
lebih terang, rak barang yang lebih tersusun serta ruang berjalan yang lebih luas berbanding sebelum ini. Penambahbaikan tersebut memberi pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pelanggan, terutama pada waktu malam apabila ramai pelajar datang ke kawasan kafe untuk berehat atau menyiapkan tugasan bersama rakan-rakan.
(Gambar Sesi Temu Bual)
Menurut seorang pekerja di mini mart tersebut, Lesong Mart kini menawarkan lebih banyak pilihan barangan berbanding sebelum ini, terutamanya keperluan harian seperti berus gigi, sabun dan telur. Beliau berkata bahawa penambahbaikan yang dilakukan bertujuan memberi keselesaan kepada pelanggan serta memudahkan mereka mendapatkan barangan yang diperlukan pada bila-bila masa.
“Dulu mini mart ini agak kecil dan suasananya sedikit gelap, tetapi sekarang kami sudah memasang lampu panjang di siling supaya kawasan dalam kedai menjadi lebih terang dan selesa. Selain itu, kami juga menyediakan kaunter juruwang bersama sistem rekod harga yang lebih teratur bagi memudahkan urusan pembayaran dan pemantauan jualan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa harga yang ditawarkan di Lesong Mart adalah berpatutan dan sesuai dengan kemampuan pelajar universiti. Katanya lagi, kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelajar kolej kediaman yang sering membeli makanan ringan dan keperluan asas harian.
“Pelajar selalu datang membeli telur kerana mudah dimasak di asrama. Selain itu, pada waktu malam ramai pelajar yang melepak di kafe akan membeli snek, minuman ringan dan ais krim sebagai pilihan santai bersama rakan-rakan,” tambahnya lagi.
(Gambar Sesi Temu Bual)
Sementara itu, seorang penghuni KHAR berkata bahawa kehadiran Lesong Mart memberikan kemudahan yang besar kepada para pelajar kerana mereka tidak lagi perlu keluar jauh untuk membeli barangan harian. Menurutnya, mini mart tersebut sangat membantu terutama bagi pelajar yang sibuk dengan jadual kuliah dan tugasan.
“Dengan adanya mini mart ini, kami dapat membeli barang keperluan dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu keluar dari kolej. Ia sangat memudahkan pelajar, lebih-lebih lagi apabila memerlukan sesuatu barangan secara mengejut,” katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa lokasi Lesong Mart yang berada berhampiran kawasan kolej kediaman menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelajar pada bila-bila masa. Tambahnya lagi, suasana mini mart yang lebih terang dan tersusun juga memberikan keselesaan kepada pelanggan ketika membeli-belah.
Selain itu, ramai pelajar turut melihat pembukaan mini mart ini sebagai satu kemudahan penting yang dapat menjimatkan masa dan tenaga mereka. Sebelum ini, sesetengah pelajar perlu keluar dari kawasan kolej untuk membeli barang keperluan asas, terutama pada waktu malam. Namun kini, mereka hanya perlu berjalan kaki ke Khar Cafe untuk mendapatkan barang yang diperlukan. Situasi ini secara tidak langsung membantu pelajar mengurus masa dengan lebih baik, khususnya ketika minggu tugasan dan peperiksaan.