Berpersatuan: Kepimpinan Wanita di Institusi Pendidikan Tinggi Awam

  


Oleh: Mohd Faridzuan Mohd Nazri & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan


TANJONG MALIM - Penglibatan pelajar wanita dalam kepimpinan persatuan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila semakin ramai mahasiswa wanita memegang jawatan penting dalam organisasi pelajar di kampus berkenaan. 


Perkembangan ini dapat dilihat melalui penyertaan aktif wanita dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pelbagai kelab dan persatuan yang berdaftar di universiti tersebut. Kehadiran wanita dalam barisan kepimpinan ini dilihat membantu memperkukuh pengurusan organisasi pelajar serta memastikan kebajikan mahasiswa diberi perhatian yang lebih menyeluruh.


Menurut Exco Perhubungan Awam & Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2025/2026, Syazwana Che Ghani, penyertaan wanita dalam kepimpinan kini semakin diterima dalam kalangan warga kampus dan tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.


“Pelajar wanita kini lebih berani tampil ke hadapan dan memegang jawatan penting dalam persatuan. Kami juga diberi peluang yang sama untuk terlibat dalam proses membuat keputusan,” katanya ketika ditemui di kampus baru-baru ini.


Beliau berkata, penglibatan wanita dalam kepimpinan membantu mewujudkan pendekatan yang lebih inklusif dalam pengurusan pelajar, terutamanya dalam aspek kebajikan dan komunikasi antara pelajar dan pihak pentadbiran universiti.


Walau bagaimanapun, wanita yang memegang jawatan kepimpinan masih berdepan dengan beberapa cabaran, termasuk persepsi masyarakat dan stereotaip gender yang masih wujud dalam sesetengah keadaan.


Exco Warisan Seni & Budaya Kolej Ungku Omar UPSI, Ainin Safiyya Asrul Effendi berkata, walaupun jumlah wanita dalam kepimpinan semakin meningkat, mereka masih perlu berdepan dengan tanggapan bahawa lelaki lebih sesuai memegang jawatan tersebut.

“Wanita dalam kepimpinan sering dinilai dengan standard yang lebih tinggi berbanding lelaki. Mereka bukan sahaja perlu menunjukkan prestasi yang baik, tetapi juga perlu berdepan dengan pelbagai persepsi masyarakat,” katanya.


Selain itu Exco Ekonomi & Keusahawanan (PERKOM) UPSI, Athirah Mohd Roslan berkata, sokongan daripada pihak universiti juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan penglibatan wanita dalam kepimpinan pelajar. Pelbagai program latihan, bengkel dan kursus kepimpinan dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang kemahiran mengurus organisasi.


Walaupun masih terdapat cabaran yang perlu diatasi, penglibatan aktif wanita dalam persatuan dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan pelajar yang lebih seimbang dan berdaya saing pada masa hadapan.