Oleh: Mohd Faridzuan Mohd Nazri & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Tanjong Malim – Suasana kampus yang tenang, laluan mendamaikan serta persekitaran hijau menjadikan aktiviti berbasikal semakin dekat dengan kehidupan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bagi sebahagian mahasiswa, kayuhan santai di sekitar kampus bukan sekadar riadah, malah cara melepaskan tekanan selepas seharian mengikuti kuliah dan tugasan akademik.
Aktiviti berbasikal kini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar UPSI kerana ia mudah dilakukan, menyeronokkan dan mampu membantu mereka mengekalkan gaya hidup sihat. Selain memberi manfaat kepada tubuh badan, aktiviti ini turut menjadi ruang untuk pelajar menenangkan fikiran serta membina hubungan sosial bersama rakan-rakan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Muhammad Izhan Jefry berkata, suasana kampus UPSI yang dikelilingi kehijauan alam menjadi antara faktor aktiviti berbasikal semakin diminati.
“Persekitaran UPSI yang dikelilingi kehijauan alam memberikan ketenangan kepada pelajar. Hal ini menjadi antara sebab aktiviti berbasikal semakin diminati dalam kalangan pelajar UPSI,” katanya.
Menurutnya, aktiviti berbasikal bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah memberi kesan positif terhadap kesihatan mental pelajar.
“Aktiviti berbasikal membantu dari segi mental dan fizikal kerana ia melibatkan pergerakan aktif anggota badan. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat meningkatkan kecergasan tubuh, mengurangkan tekanan dan membentuk gaya hidup sihat,” katanya.
Sementara itu, pelajar ISMP (TESL) Semester 4, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Muhammad Zaim Shahir Sharif berkata, aktiviti berbasikal menjadi pilihan kerana ia membantunya mengimbangi kehidupan sebagai pelajar universiti.
“Berbasikal memberikan banyak manfaat kepada tubuh badan kerana saya dapat menjalani gaya hidup sihat di samping mengimbangi aktiviti riadah dan proses pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata, tekanan emosi dan minda merupakan antara cabaran yang sering dialami oleh pelajar universiti, justeru aktiviti riadah seperti berbasikal membantu mereka keluar seketika daripada rutin pembelajaran yang padat.
“Bagi saya, aktiviti berbasikal juga menjadi salah satu cara untuk mengurangkan beban tekanan emosi dan minda yang kerap dialami oleh pelajar di universiti,” katanya.
Selain aspek kesihatan, pengaruh rakan-rakan turut memainkan peranan dalam menjadikan aktiviti berbasikal lebih menarik dan menyeronokkan.
“Dengan kehadiran rakan-rakan, aktiviti berbasikal ini menjadi lebih menyeronokkan dan pada masa yang sama saya dapat bersosial dengan lebih efektif,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Zaim Shahir berharap lebih banyak program dan kemudahan berkaitan aktiviti berbasikal dapat disediakan di UPSI bagi menggalakkan penyertaan pelajar secara lebih meluas.
Katanya, jumlah basikal di kampus ketika ini masih terhad dan kebanyakannya bergantung kepada perkhidmatan penyewaan basikal yang dijalankan oleh pelajar sendiri.
Trend berbasikal dalam kalangan pelajar UPSI dilihat bukan sekadar aktiviti santai, tetapi turut mencerminkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan gaya hidup sihat. Melalui aktiviti ini, pelajar bukan sahaja dapat menjaga kecergasan diri, malah mampu membina keseimbangan antara akademik, kesihatan mental dan kehidupan sosial di kampus.