Oleh: Akmal Haziq Sulaiman
IPOH, 7 April– Mengetengahkan tema "Local Roots, Global Impact", EXCO Agrikultur Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melabuhkan tirai program kesukarelawanan alam sekitar, EcoRimba, dengan jayanya pada 4 April lalu. Program berimpak tinggi ini telah berlangsung secara lapangan di Semaian Rimba Forestry Nursery, Ulu Chepor Forest, Ipoh, Perak.
Membawa objektif untuk memulihara dan menghargai hutan hujan tropika Malaysia, inisiatif ini mendapat sokongan serta kerjasama padu daripada Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA). Lebih membanggakan, program ini turut diserikan dengan penyertaan aktif delegasi pelajar antarabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mewakili 10 buah negara berbeza, iaitu Syria, Kanada, Palestin, Singapura, Indonesia, Bangladesh, Mesir, Uzbekistan, Nigeria, dan Pakistan.
(Sukarelawan tempatan (UPSI) dan antarabangsa (USIM) menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi semasa sesi penyediaan polibeg dan semaian. Melalui interaksi santai ini, jurang bahasa dan budaya dirapatkan melalui satu matlamat yang sama iaitu pemuliharaan alam sekitar secara praktikal di tapak semaian.)
Bagi merancakkan lagi semangat kesukarelawanan, program ini telah dirasmikan oleh Penasihat Program EcoRimba, Datin Wan Nurul Hidayu Binti Wan Abdul Razak. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa tema "Local Roots, Global Impact" amat bertepatan kerana ia mengingatkan bahawa setiap tindakan kecil di peringkat tempatan mampu memberi kesan besar kepada kelestarian dunia.
"Usaha seperti penanaman benih dan penjagaan biodiversiti di peringkat akar umbi seperti hari ini bukanlah sekadar aktiviti fizikal, tetapi ia adalah langkah mitigasi yang sangat praktikal. Tindakan lokal inilah yang sebenarnya menyumbang secara langsung kepada pengurangan jejak karbon global dalam mendepani krisis perubahan iklim yang semakin meruncing," tambah beliau lagi.
Sokongan padu terhadap kempen ini turut dizahirkan oleh Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Mohamad Hafizudin bin Mohd Nasaruddin. Mewakili pihak NGO, beliau memuji inisiatif proaktif mahasiswa dan menyifatkan kolaborasi penggabungan tenaga antara universiti, NGO, serta pelajar tempatan dan antarabangsa dari pelbagai benua ini sangat signifikan untuk memelihara keseimbangan ekosistem hutan. Menurut beliau, pihak KUASA Perak sentiasa komited menyokong inisiatif kelestarian alam seumpama ini dan amat percaya bahawa pendedahan sebegini mampu melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Program EcoRimba merangkap Exco Agrikultur Majlis Mahasiswa KAB, Muhammad Hafis Bin Zainal Abidin, menzahirkan rasa syukur atas komitmen cemerlang semua pihak. Beliau menjelaskan bahawa program ini direka bukan sahaja untuk memberi pendedahan teori, malah ia memfokuskan kepada pemberian pengalaman secara langsung kepada peserta melalui aktiviti lapangan dan kerja keras di tapak semaian.
Beliau turut menaruh harapan tinggi agar
semua peserta dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba ilmu,
berkongsi pengalaman berharga merentas pelbagai budaya dan negara, serta sedar
bahawa usaha kecil yang disatukan mampu memberi impak yang sangat besar kepada
alam semulajadi.
(para sukarelawan tekun melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di antara barisan anak benih pokok tempatan.
Sepanjang program berlangsung, kesemua peserta telah mempraktikkan pengalaman pembelajaran berasaskan amalan sebenar (experiential learning). Antara aktiviti kelestarian yang telah dijayakan secara bergotong-royong di tapak Semaian Rimba Forestry Nursery, Ulu Chepor Forest termasuklah:
Pembungkusan tanah dan pemprosesan anak benih.
Pemindahan anak pokok ke dalam polibeg (transplanting).
Kerja penyelenggaraan kawasan hijau seperti merumput (weeding) dan pembajaan.
Pelaksanaan cemerlang EcoRimba ini juga merupakan manifestasi sokongan utuh mahasiswa terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia direalisasikan menerusi amalan pendidikan biodiversiti yang menepati teras Tindakan Terhadap Perubahan Iklim (SDG 13) serta Kehidupan di Darat (SDG 15), di samping memperkukuh Perkongsian Untuk Merealisasikan Matlamat (SDG 17).
Usaha tuntas ini diyakini mampu menjadi
titik tolak ke arah melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang
dalam akademik, tetapi bersedia menggalas tanggungjawab berat sebagai duta alam
sekitar apabila mereka pulang ke negara masing-masing kelak.