Oleh: Muhamad Alif Haikal
TANJUNG MALIM – Menggenggam segulung ijazah sebagai pelajar sepenuh masa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut komitmen masa yang sangat padat. Namun, realiti kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa sebilangan mahasiswa mengambil keputusan berani iaitu dengan melakukan kerja sambilan di luar waktu kuliah. Sama ada bekerja sebagai krew di gerai air balang, pembantu kedai makan, atau penghantar makanan, kegigihan mencari duit poket ini tidak lari daripada lima cabaran utama yang menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.
Cabaran paling utama ialah keletihan fizikal yang ekstrem akibat kepadatan jadual kuliah. Sebagai pelajar sepenuh masa, waktu siang mereka dihabiskan di dalam dewan kuliah, makmal, atau perpustakaan. Sebaik sahaja kuliah tamat pada waktu petang, mereka perlu bergegas ke tempat kerja dan berdiri berjam-jam untuk melayan pelanggan. Keletihan kronik ini sering kali menyebabkan pelajar sukar memberikan tumpuan penuh ketika kuliah di keesokan paginya.
Kedua ialah kekangan masa untuk mengulang kaji dan menyiapkan tugasan akademik yang diberikan. Waktu malam yang sepatutnya digunakan untuk membuat rujukan atau perbincangan kumpulan terpaksa dikorbankan di tempat kerja. Kesannya, pelajar ini sering terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 atau 4 pagi demi mengejar tarikh akhir penghantaran tugasan universiti.
Suasana operasi gerai air balang 'Brosco Cendol' di kafe Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) yang menjadi lubuk rezeki mahasiswa mencari duit poket.
Bagi menyelami realiti ini, seorang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan UPSI, Saudara Fernandez Imanuel, 22, yang bekerja di sebuah gerai air balang di kafe Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), berkongsi pengalamannya.
"Waktu paling kritikal ialah bila tiba musim tugasan berlambak dan kuiz. Siang saya ada kelas berturut-turut, pukul 4 petang dah kena pergi gerai air balang sampai malam. Balik bilik dengan penat, barulah buka laptop untuk menaip. Kalau tak kuat mental dan tak pandai susun masa, memang rasa nak mengalir air mata," luah Fernandez jujur.
Cabaran ketiga ialah kehilangan waktu sosial dan kehidupan kampus yang sebenar. Pelajar sepenuh masa sepatutnya aktif melibatkan diri dalam pelbagai kelab, persatuan, atau aktiviti kolej. Bagaimanapun, demi kelangsungan kewangan, mereka terpaksa menolak pelbagai aktiviti luar kuliah dan masa santai bersama rakan-rakan semata-mata untuk memenuhi syif bekerja.
Seterusnya, cabaran keempat melibatkan risiko kemerosotan prestasi akademik (GPA/CGPA). Apabila badan terlalu penat dan fokus terbahagi, ada masanya pelajar tewas dengan rasa mengantuk di dalam kelas atau tidak sempat membuat persediaan rapi sebelum menduduki peperiksaan. Faktor kelima adalah tekanan mental ataupun tekanan di mana mereka perlu mengekalkan prestasi terbaik sebagai seorang pelajar cemerlang di mata pensyarah, dan pada masa yang sama menjadi pekerja yang efisien di mata majikan.
Ruang ulang kaji di Perpustakaan UPSI yang menjadi saksi perjuangan mahasiswa membahagikan masa antara tuntutan akademik dan kerja sambilan.
Menurut seorang kawan mahasiswa, Saudara Mohd Azharudin, 23, fenomena pelajar bekerja sambilan ini memerlukan kemahiran pengurusan emosi dan masa yang sangat baik.
"Saya sangat mengagumi sifat berdikari rakan-rakan mahasiswa hari ini yang sanggup bekerja di gerai air balang atau kafe demi meringankan beban keluarga. Namun, kita semua perlu ingat bahawa status utama kita di sini adalah sebagai pelajar. Pengurusan masa yang ketat dan komunikasi yang jujur dengan pensyarah sekiranya menghadapi masalah adalah kunci utama supaya pelajaran tidak terabai," ulas beliau.
Meskipun ranjau yang dihadapi oleh golongan pelajar sepenuh masa yang bekerja sambilan ini penuh dengan titisan keringat, pengorbanan ini membentuk jati diri yang kental. Pengalaman berharga di lapangan pekerjaan ini pastinya menjadi nilai tambah yang mematangkan mereka sebelum melangkah ke alam kerjaya yang sebenar.