Oleh, NORHAFIQ AIMAN BIN NORHASHAD
GEMAS — Muhammad Affendi Jalaludin, Setiausaha Majlis Raja-Raja Pemangku, mengumumkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) bahawa 1 Zulhijjah 1447H jatuh pada 18 Mei 2026. Dengan itu, Hari Raya Aidiladha ditetapkan pada Rabu, 27 Mei 2026 bagi seluruh negeri di Malaysia. Bagi kebanyakan pelajar universiti, berita itu disambut dengan senyuman bermakna cuti panjang, balik kampung dan peluang berehat daripada kesibukan kuliah dan tugasan. Tetapi bagi Muhammad Rahimi Adham 22 tahun, pelajar tahun dua Pengajian Sains Taman dan Rekreasi di sebuah universiti awam di Selangor, Aidiladha bermakna jauh lebih dari itu.
"Setiap kali Aidiladha tiba, saya terfikir tentang pengorbanan. Bukan sahaja pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tetapi pengorbanan ibu bapa saya yang hantar saya belajar jauh dari kampung. Itu pun satu bentuk korban yang besar," ujarnya sebak.
Tarikh Rasmi, Makna yang Peribadi
Pengumuman rasmi itu ringkas hanya beberapa ayat yang disiarkan di RTM. Namun di sebalik pengumuman tersebut, berjuta-juta umat Islam di Malaysia mula merancang termasuk ribuan pelajar yang terpaksa membuat pilihan antara menghadiri solat Aidiladha di kampung halaman atau meneruskan tanggungjawab akademik di bandar.
Aidiladha pada tahun ini jatuh pada 27 Mei 2026, hari Rabu dengan beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu turut menjadikan 28 Mei sebagai cuti tambahan. Bagi pelajar dari negeri-negeri tersebut, tempoh perayaan yang lebih panjang memberikan ruang untuk pulang ke kampung, bersama keluarga dan menghayati ibadah korban secara langsung.
Aidiladha dan Pelajaran Pengorbanan yang Pelajar Bawa ke Kampus
Encik Hermansyah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Felda Pasir Besar DUN Gemas telah menyatakan sempena Aidiladha 2026 menegaskan bahawa perayaan ini bukan sekadar ritual tahunan tetapi satu bentuk pendidikan rohani yang mendalam. Beliau menyeru agar semangat pengorbanan yang ikhlas dihayati dalam setiap tindakan dan usaha, khususnya dalam membina budaya kerja yang cemerlang dan berintegriti.
Bagi Rahimi, mesej itu terasa sangat dekat dengan realiti hidupnya sebagai pelajar. "Belajar di universiti pun satu pengorbanan. Ada masa kita penat, ada masa kita rasa nak give up. Tapi bila ingat balik kisah Nabi Ibrahim yang tetap tabah walaupun diuji sebegitu berat, kita pun rasa kuat semula," katanya.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut menerbitkan refleksi yang menyebut bahawa sambutan Aidiladha mengajar masyarakat erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan yang sebenar dalam kehidupan moden. Nilai-nilai inilah yang menurut para pendidik perlu diterapkan oleh generasi muda, termasuk pelajar universiti dalam menjalani kehidupan kampus sehari-hari.
Antara Tugasan dan Tradisi: Dilema Pelajar Perantau
Tidak semua pelajar berpeluang merayakan Aidiladha bersama keluarga. Ahmad Faris Zulkarnain, 22 tahun, pelajar kejuruteraan dari Sabah yang menuntut di Selangor juga, berkongsi dilema yang dihadapinya. "Tiket balik Sabah mahal. Tambah pula ada pembentangan minggu depan. Tahun ni terpaksa raya kat sini, sambut dengan kawan-kawan saja," katanya dengan nada pasrah namun tenang.
Bagi Faris dan ramai pelajar perantau sepertinya, Aidiladha di bandar bererti solat Aidiladha di masjid berhampiran kampus mungkin makan nasi beriani bersama rakan sebilik dan menghubungi keluarga melalui panggilan video. Walaupun berbeza suasana, semangat perayaan itu tetap terasa.
"Sebenarnya, Aidiladha ni ajar kita bahawa pengorbanan tak semestinya kena besar baru bermakna. Kadang-kadang, melepaskan rasa rindu demi tanggungjawab pun satu korban yang Allah hargai," tambah Faris dengan senyuman.
Menghayati Semangat Korban dalam Konteks Kehidupan Pelajar
Apa yang menarik tentang generasi pelajar hari ini ialah kemampuan mereka menghubungkan nilai-nilai agama dengan realiti kehidupan moden. Pengorbanan dalam konteks pelajar bukan semata-mata tentang ibadah korban seekor lembu atau kambing, ia juga tentang tidur lewat untuk menyiapkan tugasan, melepaskan masa santai demi persediaan peperiksaan atau memilih untuk terus belajar walaupun tekanan datang bertimpa-timpa.
Hafizah menutup perbualan dengan kata-kata yang sederhana tetapi penuh makna: "Aidiladha setiap tahun mengingatkan saya kenapa saya di sini. Saya berkorban masa, tenaga dan jauh dari keluarga bukan untuk diri sendiri saja tetapi untuk menjadi insan yang lebih berguna kepada agama, keluarga dan negara."
Pengumuman tarikh Aidiladha 2026 mungkin hanya beberapa saat di skrin televisyen. Tetapi di bilik-bilik asrama, di surau-surau kampus dan di hati pelajar yang jauh dari rumah, Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei 2026 adalah peringatan tahunan yang berbunyi kuat bahawa pengorbanan dalam apa jua bentuknya, tidak pernah sia-sia.