BERITA PALSU CETUS PANIK AWAM DAN KEKELIRUAN MAKLUMAT


How to spot fake news | Cyber safety tips | Be Connected

Oleh: Christoper Leo Andrew & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Tanjong Malim – Dalam era digital yang serba pantas, media sosial menjadi medium utama masyarakat mendapatkan maklumat harian. Namun begitu, kemudahan untuk berkongsi maklumat tanpa batasan turut membuka ruang kepada penyebaran berita palsu yang semakin sukar dikawal. Hanya dengan satu klik, sesuatu maklumat boleh tersebar kepada ribuan pengguna dalam tempoh yang singkat tanpa sempat disahkan kesahihannya.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat umum, malah turut melibatkan golongan pelajar dan mahasiswa yang aktif menggunakan platform digital. Berita palsu sering muncul dalam pelbagai bentuk seperti dakwaan kesihatan yang tidak berasas, khabar angin berkaitan keselamatan, isu perkauman serta maklumat palsu berkaitan bencana dan kejadian semasa. Situasi ini menyebabkan ramai pengguna media sosial terdedah kepada risiko mempercayai maklumat yang tidak tepat.

Seorang pelajar universiti berkata “berita palsu ini tidak patut disebarkan sebab boleh menyebabkan panik dan mendatangkan bahaya jika melibatkan isu kesihatan atau keselamatan”. Beliau juga berkata “disebabkan berita palsu ini, keharmonian orang awam tergugat kerana ia dapat menyebabkan mereka salah faham dan bergaduh”.

Temu bual bersama pelajar UPSI

Lebih membimbangkan, penyebaran berita palsu boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat apabila sesuatu maklumat disebarkan tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa. Dalam beberapa keadaan, berita palsu turut menyebabkan kerugian kewangan, menjejaskan reputasi individu serta mencetuskan konflik sosial akibat salah faham yang berlaku. Oleh itu, tahap literasi media yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan masyarakat mampu membezakan antara maklumat sahih dan maklumat yang meragukan.

Pakar komunikasi menjelaskan bahawa masyarakat perlu membudayakan amalan menyemak fakta sebelum berkongsi sesuatu maklumat. Pengguna disarankan merujuk portal berita yang dipercayai, laman web rasmi kerajaan serta kenyataan daripada pihak berautoriti bagi memastikan kesahihan sesuatu berita. Sikap bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial merupakan langkah penting dalam membendung penyebaran maklumat palsu.

Seorang lagi responden pula menyatakan bahawa “berita palsu boleh mendatangkan impak yang negatif terhadap masyarakat. Apabila seseorang menyebarkan berita palsu kepada orang lain iai dapat menjejaskan reputasi seseorang individu dan mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.”

Temu bual bersama pelajar UPSI

Menurut pakar komunikasi, masyarakat perlu lebih bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat dengan merujuk sumber yang sahih sebelum berkongsi kepada orang lain.

Selain itu, institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai bahaya berita palsu. Program pendidikan literasi media yang dilaksanakan di sekolah dan universiti dapat membantu generasi muda memahami cara mengenal pasti sumber maklumat yang sahih serta mengelakkan diri daripada menjadi penyebar berita yang tidak benar.

Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan berita yang tidak disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat.