Oleh: Christoper Leo Andrew dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM - Program Cultural Dance Sensation telah berjaya dianjurkan oleh Kolej Aminuddin Baki di bawah program besar FestiVibe KAB sebagai satu platform dalam memperkasa seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa. Program ini berlangsung dengan penuh meriah serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus dan pengunjung yang hadir.
Acara ini menampilkan pelbagai persembahan tarian kebudayaan yang memukau daripada kumpulan-kumpulan berbakat seperti Segenda Kenyalang, Sempulang Gana dan Gensag Bejulag. Setiap persembahan yang dibawakan berjaya mempamerkan keunikan budaya, warisan tradisional serta identiti masyarakat pelbagai kaum melalui gerakan tarian, busana tradisional dan iringan muzik yang penuh estetika.
Selain menjadi medium hiburan, program ini turut berfungsi sebagai wadah dalam memupuk semangat perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan mahasiswa. Penonton bukan sahaja disajikan dengan persembahan yang menarik, malah turut didedahkan dengan nilai seni dan warisan budaya yang perlu dipelihara oleh generasi muda.
Persembahan dari kumpulan Segenda Kenyalang (Ikatan Bahasa Iban UPSI)
Menurut salah seorang peserta daripada kumpulan Segenda Kenyalang, program ini memberikan pengalaman yang sangat bermakna buat mereka sebagai penari. “Program seperti ini sangat bagus kerana bukan sahaja memberi peluang kepada kami untuk menunjukkan bakat, malah dapat memperkenalkan budaya dan tradisi kepada masyarakat kampus. Saya berharap lebih banyak program kebudayaan seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang,” ujarnya.
Penganjuran Cultural Dance Sensation juga berjaya membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang seni persembahan. Semangat kerjasama, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan telah menjadikan program ini berlangsung dengan lancar dan penuh berwarna-warni.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif dalam memperkasakan seni dan budaya, malah turut mengukuhkan hubungan silaturahim antara mahasiswa melalui penghayatan budaya yang pelbagai. Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memastikan warisan seni dan budaya terus dihargai serta diwarisi oleh generasi akan datang.