Gambar ini hanya untuk tujuan ilustrasi
Oleh: Nurin Alifah Ilyana dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Tanjung Malim - Perkembangan pesat teknologi digital telah mengubah cara manusia berinteraksi dan berkomunikasi. Dalam kalangan pelajar universiti, satu trend baharu semakin ketara apabila sebahagian daripada mereka memilih untuk meluahkan perasaan melalui kecerdasan buatan (AI) berbanding berinteraksi dengan manusia secara langsung. Fenomena ini mencerminkan perubahan gaya hidup generasi muda yang semakin bergantung kepada teknologi, bukan sahaja untuk pembelajaran, tetapi juga sebagai medium sokongan emosi.
Kemunculan aplikasi seperti ChatGPT telah membuka ruang baharu kepada pelajar untuk mendapatkan maklum balas segera dalam pelbagai situasi. Pada awalnya, teknologi ini digunakan sebagai alat pembelajaran, namun kini fungsinya semakin berkembang sebagai platform untuk meluahkan perasaan. Keupayaan AI untuk memberikan respon pantas, konsisten dan tanpa penilaian menjadikannya pilihan alternatif bagi pelajar yang berasa sukar untuk berkongsi masalah dengan individu lain.
Kehidupan di universiti sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran, termasuk tekanan akademik, masalah kewangan serta isu hubungan sosial. Dalam keadaan tertentu, pelajar mungkin berasa tertekan dan tidak mempunyai saluran yang sesuai untuk berkongsi perasaan mereka. Tidak semua pelajar selesa meluahkan emosi kepada rakan atau ahli keluarga. Ada yang bimbang akan dinilai, manakala ada juga yang tidak mahu membebankan orang lain. Keadaan ini mendorong mereka untuk mencari alternatif yang lebih mudah dan selamat, termasuk penggunaan teknologi berasaskan AI.
Seorang pelajar dikenali sebagai Athirah, 23, berkata beliau menggunakan AI sebagai medium untuk meluahkan perasaan ketika menghadapi tekanan akademik. “Saya berasa lebih selesa kerana tidak perlu risau tentang pandangan orang lain. Saya boleh menyatakan apa sahaja tanpa rasa segan,” katanya. Seorang lagi pelajar, Shafina, 21, turut berkongsi pengalaman yang hampir sama. Menurutnya, penggunaan AI membantunya mengurangkan rasa kesunyian dalam situasi tertentu. “Walaupun respon yang diberikan ringkas, sekurang-kurangnya ada maklum balas yang membuatkan saya rasa lebih tenang,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar bersetuju dengan pendekatan ini. Leiyana, 21, berpendapat bahawa teknologi tersebut hanya sesuai digunakan sebagai sokongan sementara. “Interaksi dengan manusia masih penting kerana ia melibatkan empati dan kefahaman yang lebih mendalam,” katanya. Sementara itu, Afrina, 21, menyatakan bahawa beliau kurang selesa menggunakan AI untuk tujuan emosi. “Saya merasakan komunikasi dengan manusia lebih bermakna kerana mereka dapat memahami perasaan dengan lebih baik,” jelasnya.
Fenomena ini memperlihatkan perubahan dalam cara pelajar mengurus emosi dalam era digital. Dalam bidang Psychology, keperluan untuk meluahkan perasaan merupakan elemen penting dalam mengekalkan kesejahteraan mental. Namun, kebergantungan yang berlebihan terhadap teknologi boleh memberi kesan kepada kemahiran komunikasi interpersonal serta hubungan sosial dalam jangka panjang.
Penggunaan aplikasi seperti ChatGPT sememangnya menawarkan kemudahan dan akses pantas kepada pengguna. Namun begitu, ia tidak seharusnya menggantikan sepenuhnya peranan interaksi manusia. Hubungan sosial yang sihat masih penting dalam membantu individu memahami emosi secara lebih mendalam serta membina sokongan yang berpanjangan. Oleh itu, penggunaan teknologi perlu disertai dengan keseimbangan agar tidak menjejaskan perkembangan sosial pelajar.