Gambar
Ibadah Korban di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Oleh:
Anis Syazwani & Dr.
Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJONG MALIM, 29 Mei 2026 – Suasana penuh kesyukuran dan
semangat kebersamaan mewarnai penganjuran Majlis Korban Aidiladha 1447H anjuran
Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung dengan
lancar di kampus universiti.
Program tahunan ini bukan sahaja
menjadi simbol pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha, malah turut
berperanan sebagai wadah memperkukuhkan nilai ukhuwah, keprihatinan dan
semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti serta komuniti setempat.
Sebanyak 11 ekor haiwan korban
telah disembelih pada majlis tersebut, melibatkan 10 ekor lembu dan seekor
kerbau hasil sumbangan serta kerjasama pelbagai pihak. Daging korban
kemudiannya diagihkan kepada golongan yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan
sosial dan tanggungjawab bersama.
Pelaksanaan program ini turut
mendapat sokongan pelbagai pusat tanggungjawab UPSI termasuk Jabatan
Pengangkutan, Jabatan Pengurusan dan Perbendaharaan Harta Benda, Jabatan Hal
Ehwal Pelajar serta beberapa jabatan lain yang berganding bahu memastikan kelancaran
setiap proses dari awal hingga akhir.
Selain itu, kolaborasi strategik
bersama RHB Bank dan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti (JKPU) turut
menyerlahkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan budaya kebajikan dan
nilai kemanusiaan dalam ekosistem universiti.
Sepanjang program berlangsung,
suasana gotong-royong jelas kelihatan apabila kakitangan, pelajar dan
sukarelawan bersama-sama menjayakan proses penyembelihan, melapah dan
pengagihan daging korban. Ia secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan
silaturahim serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.
Pelajar pertama iaitu Nurul Emyra,
23 tahun, berpendapat bahawa “Saya rasa program ini memberikan makna yang
sangat besar kerana program ini mengajar kami tentang nilai pengorbanan dan
keikhlasan dalam membantu orang lain”. Seterusnya, pelajar kedua yang turut
sama menyertai ibadah korban ini iaitu, Nur Maisarah, 22 tahun, berkata
“Menyertai program ini dapat merapatkan lagi hubungan natara pelajar serta
warga university sendiri”.
Demikian juga program ibadah korban
ini bukan sekadar menjadi program tahunan UPSI, malah ia turut menjadi salah
satu medium yang amat penting untuk membentuk sahsiah diri dan empati dalam
diri waga UPSI supaya ia terus menjadi teras kepada komuniti UPSI yang harmoni.