Majlis Menandatangani Memorandom Persefahaman (MoU) UPSI Perkasa Kerjasama Industri dan Pendidikan

 

Gambar Program Majlis Menandatangani Memorandom Persefahaman (MoU)

Oleh: Anis Syazwani & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan

TANJONG MALIM, 22 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik bersama industri melalui penganjuran Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di kampus universiti, baru-baru ini.

Majlis ini menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan pihak industri bagi memperkasa ekosistem pembelajaran berasaskan realiti sebenar, selari dengan keperluan dunia pekerjaan masa kini.

Dalam majlis tersebut, beberapa wakil industri hadir bagi memeterai kerjasama bersama UPSI, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan secara langsung terhadap pengalaman industri sebenar.

Tokoh industri, YBhg. Datuk Dr. Yusuf Haslam ACP (K) memberi nasihat kepada para pelajar dan berkata “Jadi tidak ada jalan pintas kepada pelajar-pelajar semua. Saya nasihatkan kuatkan semangat, jangan malas, pandang ke depan, dan ingat: kejayaan hari ini tidak menjanjikan kejayaan esok supaya kamu terus berjuang. Jatuh hari ini tidak bererti kamu terus jatuh. Kamu kena bangkit dan berjuang.”

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato Dr. Md Amin Md. Taff menyatakan bahawa kolaborasi ini mampu memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami pengalaman dunia pekerjaan yang sebenar. Naib Canselor UPSI juga berkata “Maka mudah-mudahan dengan jiwa-jiwa ini, disertai dengan tokoh-tokoh yang hebat, majlis hari ini akan menjadi satu medan yang memberikan manfaat yang tentunya Datuk, paling besar pada kami. Anak-anak kami dapat berada dalam industri bukan lagi belajar teori, tetapi belajar realiti. Kerana inilah yang sangat-sangat penting.”

Secara keseluruhannya, Majlis Menandatangani MoU ini membuktikan komitmen UPSI dalam memperkasa pendidikan tinggi yang lebih dinamik, relevan dan berorientasikan pengalaman sebenar, seiring dengan aspirasi melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing.