Oleh: Anis Syazwani & Dr. Ahmad
Sauffiyan bin Abu Hasan
NEW YORK / TIMUR TENGAH, 19 April
2026 – Ketegangan
antara Iran dan Amerika Syarikat semakin memuncak selepas insiden rampasan sebuah
kapal di perairan strategik Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan kebimbangan
terhadap kemungkinan tercetusnya konflik berskala besar di rantau Timur Tengah.
Tentera laut Amerika Syarikat
dilaporkan telah merampas sebuah kapal yang dikaitkan dengan Iran selepas ia
didakwa melanggar sekatan antarabangsa yang sedang berkuat kuasa. Operasi
tersebut dilakukan di kawasan perairan yang menjadi laluan penting perdagangan
minyak global, menjadikannya isu sensitif yang segera menarik perhatian dunia.
Tindakan itu kemudian mencetuskan reaksi keras daripada pihak Iran yang
menyifatkannya sebagai satu bentuk provokasi serius dan pelanggaran terhadap
kedaulatan negara.
Pihak Iran dalam kenyataan balas
menegaskan bahawa tindakan Amerika Syarikat tersebut melanggar perjanjian
gencatan senjata sedia ada dan berikrar untuk mengambil tindakan balas
sekiranya situasi terus memuncak. Kenyataan ini sekali gus meningkatkan ketegangan
diplomatik antara kedua-dua negara yang sememangnya mempunyai hubungan yang
tegang sejak sekian lama.
Dalam perkembangan lain, Presiden
Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mencadangkan agar rundingan baharu
diadakan antara kedua-dua pihak bagi meredakan ketegangan yang semakin
meningkat. Namun begitu, penyertaan Iran dalam rundingan tersebut masih belum
dipastikan memandangkan ketidakpercayaan yang masih wujud antara kedua-dua
negara.
Situasi di Selat Hormuz turut
memberi kesan langsung kepada pasaran global apabila laluan tersebut merupakan
antara laluan utama penghantaran minyak dunia. Kebimbangan terhadap gangguan
bekalan telah menyebabkan harga minyak meningkat secara mendadak di pasaran
antarabangsa, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi global.
Menurut Nurul Izzati, 22 tahun,
berpendapatan bahawa “Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut boleh memberi
kesan besar bukan sahaja kepada rantau Timur Tengah, malah kepada ekonomi
global secara keseluruhan.” Hal ini kerana peningkatakan harga minyak telah
memberikan tekanan kepada negara-negara yang sangat bergantung kepada import
tenaga.
Tambahan pula, Muhammad Arif, 23
tahun, menjelaskan bahawa “Pendekatan rundingan dan diplomasi adalah jalan
terbaik untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.” Hal ini bertujuan untuk
mengawal keadaan sekarang daripada berlaku lebih teruk dan menjejaskan
keselamatan global.
Pada masa yang sama, beberapa
negara kuasa besar dunia dilaporkan sedang memantau rapat perkembangan konflik
ini dan menggesa agar kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan bagi
mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. Konflik yang melibatkan Iran, Amerika
Syarikat dan Israel ini dilaporkan telah berlarutan selama beberapa minggu
dengan peningkatan jumlah korban serta kerosakan infrastruktur di kawasan
terlibat.
Walaupun usaha diplomatik masih
diteruskan oleh pelbagai pihak antarabangsa, keadaan semasa kekal tidak menentu
dan berisiko tinggi. Dunia kini menantikan sama ada konflik ini akan menemui
jalan penyelesaian secara aman atau terus melarat menjadi krisis yang lebih
besar. – ASSOCIATED PRESS