DARI TEKANAN TUGASAN KE BUNYI DERUAN AIR: FENOMENA “HEALING” SUNGAI TANJONG MALIM DALAM KALANGAN PELAJAR UPSI

 


Gambar 1: Kawasan Rekreasi dan Perkelahan Sungai Bil

Oleh: Nur Wahyuni Binti Sapae & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan


TANJONG MALIM - Aktiviti bersantai atau juga sering dijuluki “healing” telah menjadi pilihan pelajar daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai satu cara untuk melepaskan tekanan mereka selepas menghadiri kelas dan juga menyiapkan tugasan akademik.


Kawasan sungai yang tenang, udara yang segar serta suasana alam semula jadi menjadikan lokasi seperti sungai di kawasan Behrang, Slim River, dan beberapa kawasan rekreasi berhampiran Tanjong Malim sebagai tempat untuk pelajar meluangkan masa bersama rakan-rakan mereka pada waktu hujung minggu. Sebagai contoh, Kawasan Rekreasi dan Perkelahan Sungai Bil, 


Menurut seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral, Tan Zi Yu, dia berkata bahawa aktiviti santai di sungai dapat membantu dirinya untuk mengurangkan tekanan belajar yang dihadapinya selain dapat memberikan peluang untuk berehat daripada penggunaan telefon dan juga media sosial.


“Bila saya duduk dekat sungai, bunyi air yang mengalir dan suasana yang nyaman membuatkan saya berasa lebih tenang. Saya dan rakan sebilik saya kadang-kadang datang untuk ‘picnic’ sambil bermandi-manda atau sekadar minum kopi sambil berbual,” katanya.



Gambar 2: Sesi Interview Bersama Responden 1



Fenomena ini juga dilihat semakin mendapat perhatian melalui media sosial apabila ramai pelajar berkongsi gambar dan juga video mereka di platform seperti TikTok dan Instagram. Pemandangan alam semula jadi yang cantik serta suasananya yang cukup santai telah menjadikan aktiviti ini mudah mendapat perhatian daripada para pengguna media sosial yang lain terutama sekali dalam kalangan pelajar.


Selain menjadi tempat untuk berehat, aktiviti di sungai turut mengeratkan hubungan persahabatan antara pelajar. Ada yang mengambil peluang untuk melakukan aktiviti seperti membakar (BBQ), mengambil gambar, bermandi-manda dan berkelah bersama rakan serumah atau rakan sekelas.


Namun begitu, pelajar juga diingatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kebersihan kawasan rekreasi itu. Antara langkah penting yang perlu dijaga termasuk memastikan kawasan sungai tidak tercemar dengan sampah, mematuhi aturan keselamatan dan mengelakkan untuk melakukan aktiviti ketika paras air yang tinggi terutama sekali pada musim tengkujuh.


Seorang pelajar UPSI yang kini berada di semester empat, Tamilcelvii A/P Chandresegaran, berkata bahawa kehadiran pelajar dapat memberikan suasana yang lebih meriah kepada kawasan rekreasi di sekitar Tanjong Malim, namun sikap bertanggungjawab dalam diri setiap pelajar amatlah penting bagi memastikan keindahan alam semula jadi terus terpelihara.


“Bagus sebenarnya pelajar datang ke kawasan rekreasi untuk menikmati alam semula jadi, tetapi kebersihan perlulah dijaga agar dapat dinikmati bersama dengan pengunjung yang lain. Janganlah tinggalkan sampah di merata-rata tempat kerana sungai ini juga digunakan oleh orang lain,”ujarnya.


Gambar 3: Sesi Interview Bersama Responden 2



Fenomena “healing” di sungai membuktikan bahawa generasi muda kini semakin menghargai ketenangan alam semula jadi sebagai salah satu cara untuk menjaga kesihatan mental dan keseimbangan hidup dalam menghadapi cabaran dunia pembelajaran yang semakin mencabar.