Oleh : Nur Wahyuni Binti Sapae & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJONG MALIM - Melangkah masuk ke era universiti saban tahun memperlihatkan dinamika yang berbeza. Bagi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kehidupan di kampus bertuah ini bukan sekadar berkisar tentang menghadiri kuliah di kampus sahaja. Dalam diam, muncul ‘arus yang tidak kelihatan’ melanda minda generasi muda hari ini iaitu fenomena Fear of Missing out atau sering disebut sebagai FOMO.
Istilah FOMO ini merujuk kepada perasaan bimbang atau cemas sekiranya orang lain sedang merasai pengalaman berharga, menjalani kehidupan yang lebih menarik, atau memiliki barangan yang lebih ruji. Di sebuah institusi yang dinamik seperti UPSI, bagaimanakan virus psikologi seperti ini merebak dalam kalangan pelajarnya?
Sebagai sebuah universiti yang melahirkan ribuan bakal pendidik dan profesional, aktiviti pelajarnya tersangatlah padat. Namun, pemangkin terbesar FOMO dalam kalangan mahasiswa UPSI tidak lain tidak bukan ialah skrin telefon pintar mereka sendiri. Apabila aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram dan X dibuka, garis masa (timeline) mereka akan dihujani dengan pelbagai hantaran rakan sekampus seperti tempat-tempat menarik di sekitar Tnajong Malim, makanan ‘viral’ yang baru atau trend pemakaian (outfit) pelajar yang sering bertukar-tukar seiring masa.
Seorang mahasiswi daripada jurusan Psikologi berkata, “FOMO dalam kalangan pelajar universiti dilihat semakin ketara apabila munculnya trend terbaru dalam TikTok. Tidak dinafikan saya sebagai seorang pelajar juga kadang-kala terjebak dengan trend sebegitu rupa. Namun, jika ianya mampu memberi kesan kepada kehidupan seharian pelajar sehingga sanggup ponteng kelas, ianya perlu dikaji semula.”
Sifat ingin bersosial dan terlibat dalam aktiviti adalah sesuatu perkara yang positif. Namun, ia menjadi toksik apabila digerakkan oleh rasa takut dan cemas jika mereka tidak mengikutinya. Pelajar UPSI, sebagai pemegang obor “Suluh Budiman” harus menjadi pelopor kepada generasi yang bijak mengawal emosi dan penggunaan teknologi agar tidak ‘memakan’ diri sendiri.
Kehidupan kampus setiap pelajar itu ibarat sebuah kanvas kosong. Kita sebagai seorang pelajar hendaklah tahu dan memahami batasan bagi setiap tingkah laku yang kita buat agar tidak mencemarkan nama baik diri sendiri, keluarga mahupun institusi. Para pelajar juga hendaklah mengawal diri daripada membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain secara negatif kerana ianya mampu merosakkan diri mereka sendiri.