Poster rasmi Festival Gawai Kaamatan UPSI 2026 yang memaparkan pelbagai aktiviti kebudayaan bagi meraikan warisan masyarakat Sabah dan Sarawak. (Sumber: Jawatankuasa Festival Gawai Kaamatan UPSI 2026)
Oleh: Arlyenah Musah
TANJUNG MALIM – Festival Gawai Kaamatan UPSI 2026 yang berlangsung di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS) berjaya menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai kaum dan negeri dalam suasana penuh warna-warni budaya. Festival bertemakan “Essences of Cultural Legacy” itu bukan sahaja meraikan warisan Sabah dan Sarawak, malah menjadi pengubat kerinduan mahasiswa yang berada jauh dari kampung halaman.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang festival termasuk pertandingan Sugandoi, Pekit Belagu, Miss Kaamatan, Mr Kaamatan, Miss Gawai dan Mr Gawai. Persembahan artis jemputan dari Sabah dan Sarawak turut menambahkan kemeriahan program dan menarik lebih ramai peserta yang hadir.
Menurut Natherniel Nicholas, AJK program, festival tersebut memberi peluang kepada mahasiswa Sabah dan Sarawak untuk mengimbau suasana perayaan yang sering diraikan bersama keluarga walaupun tidak dapat balik ke kampung halaman.
“Program seperti ini membuatkan saya berasa lebih dekat dengan budaya sendiri walaupun berada jauh dari kampung halaman. Program ini juga dapat mengurangkan rasa rindu terhadap keluarga saya walaupun tidak dapat balik ke Sabah,” katanya.
Selain menjadi pengubat rindu, festival ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan budaya Sabah dan Sarawak kepada mahasiswa dari negeri lain. Kehadiran pelajar daripada pelbagai latar belakang membuktikan bahawa program kebudayaan mampu memupuk persefahaman dan mengeratkan hubungan sesama mahasiswa.
Secara keseluruhannya, Festival Gawai Kaamatan UPSI 2026 bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi turut menjadi medium perpaduan yang menyatukan warga kampus sambil menghargai kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia.