TANJUNG MALIM: Bermula daripada dapur rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, sepasang suami isteri kini berjaya mengembangkan perniagaan kecil mereka, WakDen Tauhu Pop Crispy, yang semakin dikenali terutama dalam kalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kejayaan WakDen Tauhu Pop Crispy bukan sekadar kisah perniagaan makanan jalanan, tetapi sebuah perjalanan transformasi hidup yang bermula daripada kesempitan ekonomi, usaha sendiri menghasilkan tauhu, sehingga menjadi produk viral hasil sokongan komuniti pelajar UPSI.
Pada awalnya dikenali sebagai WakDen Soya, perniagaan ini dimiliki oleh WakDen bersama isterinya, Puan Syuhada. Idea untuk menghasilkan tauhu pop crispy tercetus daripada WakDen sendiri, diinspirasikan daripada tontonan di TikTok dan YouTube.
Ketika PKP 2020, pasangan ini hanya mampu berniaga dari rumah secara penghantaran (cod) kerana kekangan kewangan. Namun, sambutan pada peringkat awal agak perlahan memandangkan pelanggan lebih mengenali produk air soya berbanding tauhu pop yang masih baharu di pasaran.
Nama “Pop” pula diilhamkan daripada bentuk tauhu bersaiz kecil yang menyerupai popcorn, sekali gus menjadikannya unik dan mudah diingati.
WakDen berkata, dorongan daripada rakan-rakan menjadi titik tolak untuk mereka mula berniaga di tepi jalan bagi meningkatkan keterlihatan perniagaan.
“Pada mulanya memang agak perlahan, orang lebih kenal air soya. Tapi kami tak putus asa sebab ini sahaja sumber rezeki ketika itu,” katanya.
Perubahan besar berlaku apabila pelajar UPSI mula memviralkan WakDen Tauhu Pop Crispy di media sosial, sekali gus melonjakkan nama perniagaan itu dan menarik perhatian pelanggan dari dalam dan luar kawasan.
Keunikan utama WakDen Tauhu Pop Crispy terletak pada proses penghasilan tauhu yang dibuat sendiri oleh WakDen, bermula daripada taufufa, tauhu pop crispy sehinggalah tauhu berlauk.
Selain itu, perniagaan ini juga menjadi nadi ekonomi kepada pasangan tersebut, yang turut mengusahakan perniagaan keluarga berasaskan tauhu dan tempe.
Kini, pelanggan utama mereka terdiri daripada pelajar UPSI yang bukan sahaja menjadi pembeli tetap, malah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan jenama ini kepada masyarakat setempat melalui media sosial.
Daripada hanya berniaga secara kecil-kecilan di rumah, WakDen Tauhu Pop Crispy kini berdiri sebagai simbol bagaimana usaha, kreativiti dan sokongan komuniti mampu mengubah kehidupan seseorang.
Kisah ini membuktikan bahawa di sebalik sekeping tauhu kecil, tersimpan sebuah perjalanan besar menuju kejayaan.
NUR SYAZWANA BINTI CHE GHANI
ATHIRAH BINTI MOHD ROSLAN
Pelajar Semester 4
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial
Universiti Pendidikan Sultan Idris