Godaan Sukar Ditolak: Mahasiswa dan Fenomena Food Festival


 Minuman yang mendapat sambutan dan sering menjadi pilihan mahasiswa semasa food festival di kampus. (Foto: Arlyenah Musah) 

 Oleh: Arlyenah Musah

TANJONG MALIM – Aroma ayam gunting, kopi ais dan pelbagai makanan viral memenuhi ruang festival makanan yang berlangsung di kampus pada ketika ini. Setiap petang, kawasan festival mula dipenuhi mahasiswa yang berjalan dari satu gerai ke satu gerai, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang mencuba pelbagai hidangan yang ditawarkan. Namun, di sebalik kemeriahan itu, ramai pelajar mengakui bahawa food festival sering menyebabkan mereka berbelanja lebih daripada yang dirancang.

Food festival merupakan antara acara yang sering mendapat sambutan dalam kalangan mahasiswa kerana ramai peniaga menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman. Selain menjadi tempat menikmati juadah yang menarik, festival sebegini turut menjadi ruang untuk pelajar meluangkan masa bersama rakan-rakan selepas tamat kuliah.


Menurut seorang pelajar tahun kedua, Crylisa Binti Budiman, dia sering menghadiri food festival setiap kali ia dianjurkan di kampus kerana tertarik dengan pelbagai jenis makanan yang dijual. Beliau mengakui bahawa perbelanjaannya pada hari festival makanan sering meningkat berbanding hari biasa kerana ingin mencuba makanan yang jarang ditemui di kafeteria kampus.

“Saya biasanya datang untuk melihat-lihat sahaja, tetapi akhirnya membeli lebih daripada yang saya rancang sebelum pergi. Banyak makanan yang menarik membuatkan saya menjadi sukar untuk membuat pilihan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Caronella Jamis, berkata food festival menjadi tarikan utama kerana menawarkan makanan yang sedang tular di media sosial.

“Banyak gerai menjual makanan yang viral dan sukar didapati di sekitar kampus. Sebab itu ramai pelajar sanggup berbelanja lebih untuk mencubanya. Saya suka mencuba pelbagai makanan viral yang belum saya pernah cuba walaupun agak mahal,” katanya.

Menurut beliau, suasana festival yang meriah turut mendorong pelajar untuk membeli makanan walaupun pada asalnya tidak merancang untuk berbuat demikian.

Tinjauan di sekitar festival mendapati kebanyakan mahasiswa membeli lebih daripada satu jenis makanan dan minuman sepanjang berada di kawasan festival. Ada yang datang bersama rakan-rakan dan menjadikan acara tersebut sebagai aktiviti santai selepas kelas.

Walaupun food festival memberi peluang kepada mahasiswa menikmati pelbagai pilihan makanan, sesetengah pelajar berpendapat bahawa pengurusan kewangan tetap perlu diutamakan. Oleh itu, mahasiswa perlulah menetapkan bajet sebelum menghadiri festival bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak terkawal dan berusaha agar tidak berbelanja setiap hari.