Poster Majlis Pelancaran Penyaluran Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) Tahun 2026. (Sumber: UPSI)
Oleh: Arlyenah Musah
TANJONG MALIM – Kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman merupakan antara cabaran yang sering dihadapi oleh mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia. Namun, harga tiket penerbangan yang semakin meningkat kadangkala membataskan hasrat untuk pulang. Bagi mengurangkan beban tersebut, Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) terus menjadi antara inisiatif yang memberi kelegaan kepada mahasiswa di perantauan.
Majlis Pelancaran Penyaluran Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) Tahun 2026 secara tunai telah diadakan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program tersebut mendapat sambutan baik daripada semua mahasiswa Sabah.
Sebagai mahasiswa Sabah yang melanjutkan pengajian di UPSI, saya memahami cabaran yang dihadapi apabila ingin pulang ke kampung halaman. Kos tiket penerbangan yang tinggi sering menjadi antara perbelanjaan terbesar, terutamanya ketika musim cuti semester dan perayaan.
Menurut seorang penerima bantuan, Nursyazhawatul Izzai Binti Haipin, 22, SUBFLY banyak membantu pelajar mengurangkan kos perjalanan untuk pulang bertemu keluarga.
“Bantuan ini sangat membantu kerana harga tiket penerbangan kadangkala agak mahal. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit beban kewangan kami sebagai pelajar,” katanya.
Bagi kebanyakan mahasiswa Sabah, bantuan SUBFLY bukan sahaja membantu mengurangkan kos perjalanan, malah memberi peluang untuk pulang ke kampung halaman dengan lebih mudah tanpa terlalu membebankan perbelanjaan harian mereka.
Selain meringankan beban kewangan, bantuan ini turut menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa Sabah yang berada jauh dari keluarga. Inisiatif seperti ini dilihat mampu membantu pelajar memberi tumpuan kepada pengajian tanpa terlalu risau mengenai kos perjalanan pulang.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan SUBFLY 2026 memberi manfaat yang besar kepada mahasiswa Sabah di perantauan. Selain membantu mengurangkan kos penerbangan, bantuan ini turut memberi kelegaan kepada pelajar untuk terus berhubung dengan keluarga serta pulang ke kampung halaman apabila berkesempatan.