TANJUNG MALIM — Isu kos tiket penerbangan yang tinggi sering menjadi beban utama bagi pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia. Keperluan untuk merentas Laut China Selatan menjadikan pengangkutan udara sebagai satu-satunya pilihan utama, sekali gus menyebabkan pelajar terpaksa berbelanja besar setiap kali ingin pulang ke kampung halaman, terutamanya ketika musim perayaan.
Menyedari hakikat tersebut, kerajaan telah memperkukuhkan inisiatif FLYsiswa dengan meningkatkan kadar subsidi pembelian tiket penerbangan daripada RM300 kepada RM400 seorang, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai salah satu langkah bagi meringankan beban kewangan pelajar, khususnya dari Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelaksanaan inisiatif ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan pelajar yang berdepan dengan kos perjalanan yang tinggi. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan domestik bagi laluan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan. Selain itu, pelajar daripada universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG) boleh menyemak kelayakan dan memohon bantuan melalui laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Bagi menilai sejauh mana keberkesanan inisiatif ini, penulis telah menemu bual seorang pelajar berasal dari Sarawak, Ridianatasya, yang berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai bantuan FLYsiswa. Menurut beliau, bantuan subsidi ini sememangnya sangat membantu dari segi kewangan, khususnya bagi pelajar Borneo dan Labuan yang perlu menanggung kos penerbangan yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman. Katanya, keadaan menjadi lebih mencabar terutamanya ketika musim perayaan apabila harga tiket meningkat secara mendadak, sekali gus membebankan pelajar yang kebanyakannya mempunyai sumber kewangan yang terhad.
(Ridianatasya semasa sesi temuduga bersama Rafia)
Secara keseluruhannya, jelas bahawa FLYsiswa bukan sekadar satu bentuk bantuan kewangan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan emosi pelajar yang berjauhan dari keluarga. Persoalannya kini, adakah inisiatif ini cukup untuk terus menjadi “penyelamat” kepada pelajar Borneo dalam jangka masa panjang, atau masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan?